JENAYAH & MAHKAMAH

Bomba Aktifkan Operasi Pemadaman Asap Tanah Gambut Di Bachok

03/04/2026 05:10 PM

BACHOK, 3 April (Bernama) -- Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok mengaktifkan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut 24 jam sehari bagi mengelak kejadian merebak ke kawasan penempatan dan tanaman penduduk.

Ketua BBP Bachok Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata dua pasukan dibentuk membabitkan pasukan kesiapsiagaan di balai dan satu pasukan khas kebakaran tanah gambut bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kami gerakkan operasi setiap hari sejak beberapa minggu lepas di kawasan yang berisiko dan berdasarkan aduan daripada penduduk.

“Untuk hari ini, pasukan melakukan operasi pemadaman asap tanah gambut di Kampung Sri Gondang yang berkeluasan hampir tiga hektar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Ridhuan berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dalam usaha memadam kebakaran.

Beliau berkata mereka juga akan mendapatkan bantuan keanggotaan dari balai lain berdasarkan keperluan semasa dengan setakat ini, permohonan tiga unit pam angkut dan lori tangki berkapasiti 10,000 liter daripada BBP Pengkalan Kubor, Tumpat telah dibuat.

“Kita mendapati hanya asap keluar dari tanah gambut itu, tetapi dalam keadaan cuaca panas terik pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk dari 10 kampung di Bachok dihantui kebimbangan susulan kawasan tanah gambut di Kampung Kuau, kembali terbakar hingga merebak ke kebun kelapa sawit dan getah.

Tanah gambut yang terbakar pada 19 Feb telah dipadamkan bomba, namun api itu muncul semula beberapa hari lepas.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540615