IPOH, 5 April (Bernama) -- Tiada lagi laluan perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini akan ditamatkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata hal ini termasuk laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna susulan penamatan operasi baru-baru ini.
"Kita ambil maklum keresahan pengguna, khususnya pelajar yang bergantung pada perkhidmatan bas ini untuk ke sekolah. Oleh itu, kerajaan negeri pastikan tiada laluan yang akan ditamatkan dalam masa terdekat ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Padang Taman Lapangan Jaya di sini, hari ini.
Mohamad Nizar berkata bagi memastikan kelangsungan pengangkutan awam kepada rakyat terus terpelihara, kerajaan negeri turut merancang pembukaan laluan baharu meliputi kawasan Kampar dan Gopeng.
Beliau berkata cadangan laluan baharu itu melibatkan laluan Tanjung Tualang, Kampung Timah, Tronoh Mines, Gopeng, Kopisan hingga Kampar, namun masih menunggu kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Sebelum ini, media melaporkan penduduk di sekitar Lenggong merayu agar perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik dikembalikan segera selepas ditamatkan sejak 1 April lepas yang menjejaskan kehidupan harian pelbagai lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, operasi tersebut disambung semula pada 3 April.
-- BERNAMA