JENAYAH & MAHKAMAH

Pempengaruh TikTok Saman Presiden Hindu Sangam Dakwa Difitnah Isu Mandi Bunga

03/04/2026 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Pempengaruh media sosial TikTok memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Persatuan Malaysia Hindu Sangam, T. Ganesan berhubung hantaran video berkaitan perkhidmatan mandi bunga yang didakwa mengaitkannya dengan aktiviti memperdaya orang awam.

Usahawan wanita, Olivia Lopez Bennet Lopez, 45, atau lebih dikenali sebagai Ibu Olivia Lopez selaku plaintif, memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerusi Tetuan Asheeq Ali & Co pada Mac lepas dengan menamakan Ganesan sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif yang menjalankan perkhidmatan mandi bunga mendakwa defendan menyiarkan sebuah video ‘Facebook Reel’ pada Ogos tahun lepas yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap perkhidmatan ditawarkannya.

Dakwa plaintif, kenyataan dalam video itu secara langsung merujuk kepadanya kerana memaparkan wajahnya berserta dakwaan bahawa perkhidmatan tersebut bersifat menipu, tidak beretika dan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.

Video berkenaan didakwa bukan sahaja dimuat naik di akaun Facebook peribadi defendan, malah disiarkan semula di akaun Facebook rasmi persatuan tersebut yang mempunyai kira-kira 40,000 pengikut.

Plaintif mendakwa setakat ini, video yang dimuat naik di akaun peribadi defendan menerima 52 tanda suka, 11 komen dan 25 perkongsian, manakala siaran di akaun persatuan itu mencatatkan 8,300 tontonan, 62 tanda suka, tiga komen dan lapan perkongsian.

Plaintif yang mempunyai kira-kira 227,600 pengikut di TikTok, “Jai Hanumat” (@ibuoliviealopez), turut mendakwa kenyataan itu memberi gambaran bahawa beliau seorang penipu, tidak boleh dipercayai, serta memperdaya orang awam. 

Plaintif yang juga merupakan Hipnoterapis Klinikal Profesional (P.Ch), iaitu pengamal terapi yang menggunakan teknik hipnosis bagi tujuan rawatan mendakwa reputasi serta perniagaannya terjejas teruk apabila kehilangan pelanggan, rakan niaga dan kemerosotan pendapatan selain menjadi sasaran kecaman dan buli di media sosial.

Sehubungan itu, plaintif menuntut agar defendan membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik kenyataan berkenaan, serta membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk atau teladan, selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif mendakwa notis tuntutan telah dikeluarkan oleh peguam cara beliau kepada defendan pada 17 Sept lepas, namun Ganesan didakwa mengekalkan kenyataannya dan tidak memadam video tersebut daripada mana-mana akaun sehingga tarikh saman difailkan.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 10 April ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zuhrina Mohamed Nor secara e-review

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540459