KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan melakukan pemantauan secara berkala di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini berikutan laporan berlakunya aktiviti mat rempit di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan awam.
"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
"Kita juga akan memberi sokongan terhadap operasi penguatkuasaan di kawasan berisiko," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Zamakhshari berkata kerajaan negeri juga ingin menegaskan isu tersebut tidak wajar digeneralisasikan sehingga seolah mencerminkan keseluruhan anak muda di Kelantan.
"Majoriti golongan belia di negeri ini sebenarnya aktif dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, sukan, keusahawanan dan program pembangunan diri," katanya.
Beliau berkata bagi mengatasi perkara ini, pelbagai program akan diperluaskan termasuk program kepimpinan di bawah Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), Program Pembangunan Jati Diri Belia menerusi Anak Muda Rakan Al-Quran (AMRAQ), serta inisiatif akar umbi di bawah Urusetia Belia dan Sukan.
"Kerajaan negeri turut merancang untuk menyediakan ruang aktiviti permotoran lebih selamat dan terkawal termasuk pewartaan tanah kerajaan sebagai tapak sukan motocross di Mukim Sokor, Tanah Merah," katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di LTSIP bagi mengekang aktiviti mat rempit.
Ia susulan laporan media sebelum ini apabila balai perlepasan di terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa yang kurang sebulan beroperasi secara penuh, dijadikan litar lumba oleh mat rempit.
-- BERNAMA