JENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Kereta Dipandu Pelajar Kolej

05/04/2026 06:07 PM

KOTA BHARU, 5 April (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam kemalangan di hadapan Restoran Pok Dik, Jalan Sultan Yahya Petra di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada 12.41 tengah malam itu berlaku apabila sebuah kenderaan dari arah Wakaf Siku menuju ke Kubang Kerian, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

“Pemandu tersebut kemudiannya melanggar seorang penunggang motosikal yang berhenti di bahu jalan, sebelum merempuh empat lagi kenderaan yang diparkir di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azmir berkata akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 41 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

“Pemandu kenderaan terbabit yang juga seorang pelajar di sebuah kolej berusia 20-an dijangka ditangkap hari ini bagi perintah reman untuk disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-775 2315 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541247