KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — AirAsia tidak terlibat dalam lindung nilai bahan api walaupun merancang untuk berbuat demikian selepas kenaikan harga minyak dan kekangan kewangan menghalang keupayaan syarikat penerbangan itu untuk menjimatkan kos.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu telah berbincang mengenai strategi lindung nilai pada Januari lepas, sebelum konflik geopolitik baru-baru ini, tetapi pelan itu ditangguhkan berikutan pertimbangan masa dan mudah tunai.
"Kami sedang mengusahakan perkara ini dan bersedia untuk melindung nilai tetapi ini berlaku sebelum kami dapat melaksanakannya. Cuma masanya tidak tepat," katanya kepada pemberita selepas taklimat media AirAsia X di sini hari ini.
Lingam berkata bahawa kumpulan itu pada masa ini tidak mempunyai fleksibiliti kewangan untuk melindung nilai bahan api, sambil menambah harga bahan api telah meningkat dua kali ganda sehingga menjejaskan kos operasi.
Lindung nilai pada tahap harga semasa tidak akan berdaya maju.
"Tidak masuk akal untuk melindung nilai sekarang. Kami tidak mempunyai wang untuk melindung nilai pada tahap ini," kata Lingam.
Sebaliknya, syarikat penerbangan itu memberi tumpuan kepada pelarasan operasi dan pengurusan kos untuk menavigasi turun naik, mengoptimumkan penggunaan kapasiti.
Beliau ketika mengulas mengenai kapasiti memberitahu syarikat penerbangan itu mengambil peluang untuk mempercepatkan jadual penyelenggaraan pesawat, menghentikan sementara beberapa pesawat untuk diservis berbanding mengembangkan operasi secara agresif dalam persekitaran kos tinggi.
"Kami mempunyai pesawat itu tetapi dengan bahan api yang mahal, kami menggunakan tempoh ini untuk menjalankan penyelenggaraan lebih awal daripada yang dirancang," kata Lingam, sambil menambah langkah dasar kerajaan seperti pengecualian visa telah melonjakkan lagi perjalanan masuk, menyokong permintaan penumpang.
AirAsia X juga telah menghapuskan bayaran tertentu termasuk caj pemindahan, untuk merangsang lalu lintas dan menambah baik kesalinghubungan.
Beliau berkata syarikat penerbangan itu telah menaikkan tambangnya antara 30 peratus dan 40 peratus selepas ia menghadapi kenaikan harga bahan api jet.
Harga bahan api jet telah menokok daripada US$90 setong sebelum konflik Asia Barat kepada US$200 setong pada masa ini, dengan surcaj bahan api sahaja bertambah 20 peratus.
Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AirAsia X yang baharu dilantik, Tan Sri Jamaludin berkata asas syarikat penerbangan itu adalah kukuh, disokong oleh struktur kos yang ramping dan berdisiplin, rangkaian berfokus Asean yang berdaya tahan dan ketersambungan teguh, yang membolehkannya bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan pasaran.
— BERNAMA