PASARAN

Ringgit Ditutup Mengukuh Susulan Harapan Gencatan Senjata Di Asia Barat

06/04/2026 07:22 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga petang Isnin dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika sentimen optimis mengenai kemungkinan   gencatan senjata Asia Barat terus memulihkan minat terhadap risiko.

Pada 6 petang ini, ringgit mengukuh kepada 4.0245/0320 berbanding dolar AS daripada 4.0295/0350 pada akhir urus niaga Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan media menyatakan bahawa AS, Iran dan pihak atau negara yang menjadi perantara sedang merangka pelan gencatan senjata selama 45 hari yang akan membawa kepada pembukaan semula Selat Homuz.

“Butirannya masih kabur, namun itulah berita yang melonjakkan sentimen optimis di pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata data Laporan Penggajian Bukan Perladangan bagi Mac terbukti lebih kukuh daripada jangkaan awal pada 178,000, namun data kekal tidak menentu berikutan penguncupan Februari yang meningkat daripada 92,000 kepada 133,000.

“Kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) AS turun bagi bulan keempat berturut-turut kepada 61.9 peratus, sekali gus menunjukkan semakin kurang rakyat AS menyertai pasaran guna tenaga selain memberi isyarat kemungkinan trend lemah sedemikian dapat mendorong Rizab Persekutuan melonggarkan dasar monetari pada akhir tahun ini,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5241/5290 daripada 2.5247/5285, naik berbanding euro kepada 4.6483/6570 daripada 4.6513/6576 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3305/3404 daripada 5.3326/3399 Jumaat lepas.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang ASEAN.

Ini termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1346/1407 daripada 3.1341/1389, rendah berbanding peso Filipina kepada 6.70/6.72 daripada 6.68/6.71 serta turun berbanding baht Thailand kepada 12.3831/4138 daripada 12.3585/3841 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 236.2/236.8 daripada 237.4/237.9, minggu lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541707