KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kerajaan memandang serius kesan krisis tenaga global terhadap industri khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri kesihatan yang kini berdepan tekanan kos selain cabaran kesinambungan bekalan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata keutamaan kerajaan bukan sekadar meredakan tekanan jangka pendek, tetapi memanjangkan ketahanan bekalan sedia ada selain melaksanakan perubahan struktur ekonomi secara bertanggungjawab.
“Semua ini perlu dilakukan dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara yang sedang menanggung subsidi minyak yang tinggi. Matlamat kerajaan jelas iaitu mengurangkan beban industri, melindungi pengguna akhir dan memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
“Kurangkan tekanan industri, lindungi pengguna dan perkukuh daya tahan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Akmal Nasrullah bersama Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (PMAC) meneruskan sesi libat urus bersama industri yang terkesan akibat krisis tenaga global dengan tumpuan khusus kepada PMKS serta industri kesihatan.
Sesi tersebut disertai SME Corp Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Persatuan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) serta SME Association of Malaysia.
Wakil industri kesihatan pula seperti Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (Perantim), Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI).
Libat urus itu memberi ruang kepada industri untuk membentangkan kesan langsung krisis tenaga global terhadap operasi perniagaan termasuk peningkatan kos input, tekanan terhadap aliran bekalan serta cabaran untuk mengekalkan daya saing dan kesinambungan operasi.
Beliau berkata industri kesihatan menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kos yang boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan kesihatan yang penting.
“Kerajaan memandang serius perkara ini, khususnya kesan terhadap PMKS yang lebih mudah terdedah kepada kejutan kos dan gangguan bekalan.
“Sehubungan itu, pendekatan yang sedang dipertimbangkan bukan sahaja bertujuan menangani tekanan semasa, tetapi juga untuk memanjangkan ketahanan bekalan sedia ada selain memperkukuh keupayaan ekonomi negara menghadapi tekanan luaran secara lebih tersusun dan mampan,” katanya.
Sementara itu, dalam merangka langkah seterusnya, beliau berkata kerajaan perlu bertindak secara seimbang dan berhemat dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara terutamanya dalam keadaan tanggungan subsidi minyak yang tinggi.
“Justeru, sebarang intervensi perlu benar-benar bersasar, berimpak dan mampu mengurangkan tekanan kepada industri tanpa memindahkan beban tersebut kepada pengguna akhir,” katanya.
Kerajaan kekal komited bagi memastikan kelangsungan perniagaan, kestabilan bekalan dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
Keutamaan kerajaan adalah memastikan negara mempunyai ruang tindak balas yang mencukupi untuk mengurus tekanan global sambil melaksanakan perubahan struktur ekonomi yang dapat memperkukuh daya tahan negara dalam jangka sederhana dan panjang.
-- BERNAMA