KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Weststar Group tidak terjejas dengan konflik Asia Barat kerana telah keluar daripada operasi pengangkutan luar pesisir di rantau itu sejak akhir tahun lepas.
Pengarah Urusan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata pihaknya pernah beroperasi di Arab Saudi selama kira-kira tiga tahun, namun memilih untuk keluar selepas menjangkakan ketidakstabilan yang semakin meningkat.
“Kami tidak terjejas (dengan konflik Asia Barat) kerana kami telah pun keluar daripada pasaran itu. Kami menjangkakan ketidakstabilan dan selepas tiga tahun, memutuskan untuk keluar daripada rantau itu,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian pembiayaan RM2 bilion antara Weststar Aviation Services dengan AMMB Holdings Bhd di sini hari ini.
Sebelum ini, melalui cabang penerbangannya, Weststar Aviation Services Sdn Bhd, kumpulan itu beroperasi di Al-Khafji, Arab Saudi, dengan menggunakan dua helikopter.
Operasi itu bagi tujuan pertukaran kru luar pesisir, pemindahan perubatan serta operasi mencari dan menyelamat untuk menyokong aktiviti cari gali, pembangunan serta pengeluaran minyak dan gas di kawasan luar pesisir antara Arab Saudi dan Kuwait.
Syed Azman berkata kos operasi Weststar Group kekal tidak terjejas dengan harga minyak dan gas semasa kerana perbelanjaan bahan api dianggap pelepasan kos mengikut kontraknya.
Ketika laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent berada pada US$107.5 setong.
Beliau berkata krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat dijangka merangsang lebih banyak aktiviti perdagangan, cari gali dan pengangkutan.
“Kami menjangkakan lebih banyak aktiviti perdagangan, cari gali dan pengangkutan. Semua aktiviti ini memerlukan pengangkutan, sama ada melalui laut atau udara. Jadi, kami melihat ini sebagai peluang untuk lebih meningkatkan hubungan perdagangan,” katanya.
Konflik Asia Barat bermula pada 28 Feb lepas apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, seterusnya mendorong Tehran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron terhadap pasukan AS serta sasaran sekutu di rantau tersebut.
Konflik itu menjejaskan pasaran tenaga global apabila Selat Hormuz, laluan strategik bagi kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, telah disekat oleh Iran.
-- BERNAMA