AM

Dua Anak Tun Daim Berdepan Tindakan Tegas, Notis Merah, Susulan Ingkar Arahan SPRM

06/04/2026 10:28 PM

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan tegas, antaranya menggerakkan Notis Merah kepada tiga individu termasuk dua anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin susulan kegagalan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius kegagalan dua anak Tun Daim iaitu Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, untuk hadir memberi keterangan sebagaimana yang diperintahkan melalui tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan bertarikh 13 Feb, 11 Mac dan 6 April 2026.

“Sebelum ini, wakil peguam yang mewakili mereka telah menyatakan komitmen dan persetujuan untuk hadir pada 6 April 2026. Namun demikian, mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah.

“Turut gagal hadir tanpa alasan yang memuaskan ialah Josephine Premla, walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh pihak SPRM,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, SPRM memaklumkan dua anak Tun Daim iaitu Asnida telah hadir dan memberikan kerjasama kepada SPRM, manakala Md Wira Dani telah memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadirannya.

Susulan ketidakpatuhan ini, SPRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas selanjutnya iaitu menggerakkan Notis Merah melalui Polis Antarabangsa (Interpol).

SPRM turut berkolaborasi dengan Jabatan Imigresen bagi menyekat serta memantau pergerakan keluar masuk dan status pasport individu terbabit.

Penama-penama berkenaan juga akan berhadapan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kerana ingkar mematuhi Perintah Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama.

“SPRM menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi ini tidak akan dilayan dengan toleransi dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa pengecualian,” menurut kenyataan itu.

Pada 28 Feb, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Tun Daim berikutan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.

Sebelum ini, SPRM melaksanakan Ops Godfather susulan pendedahan mengenai kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Tun Daim, ahli keluarga serta sekutu perniagaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541779