PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Sentimen Berhati-hati

06/04/2026 10:24 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah susulan sentimen berhati-hati apabila pelabur menunggu data unjuran pengeluaran minyak sawit daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata pasaran turut dipengaruhi oleh berita mengenai sekatan eksport MSM dari Thailand.

“Pasaran masih memproses momentum kenaikan harga minggu lepas dan beberapa aktiviti mengambil untung sedang diperhatikan kerana banyak naratif peningkatan harga diambil kira, menjadikan pasaran tiada panduan baharu,” katanya kepada Bernama.

Dilaporkan Thailand akan memperketat kawalan ke atas eksport MSM mulai 7 April dengan mewajibkan pengeksport mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu sebagai langkah untuk melindungi bekalan domestik di tengah-tengah permintaan tenaga dan eksport yang meningkat.

Pada penutup dagangan, kontrak April 2026 menurun RM5 kepada RM4,740 setiap tan, Mei 2026 susut RM20 kepada RM4,779 setiap tan manakala Jun 2026 dan September 2026 masing-masing merosot RM28 kepada RM4,811 dan RM4,761 setiap tan.

Julai 2026 berkurang RM29 kepada RM4,815 setiap tan manakala Ogos 2026 merosot RM32 kepada RM4,792 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 53,566 lot daripada 52,194 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka naik kepada 254,035 kontrak daripada 252,147 kontrak.

Harga fizikal MSM untuk April Selatan berada pada RM4,760 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541787