Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur meneruskan momentum kenaikannya untuk ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh peningkatan niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah yang tinggi dan ringgit yang rendah berbanding dolar AS, kata peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini, mencapai paras tertinggi dalam tempoh satu tahun setengah apabila sentimen pasaran disokong oleh harapan ketegangan Asia Barat akan mereda dalam kebimbangan berterusan mengenai bekalan bahan mentah yang terhad di negara-negara pengeluar getah asli.
“Bagaimanapun, kenaikan dikekang oleh prospek pertumbuhan global yang lembap, inflasi yang lebih tinggi, data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan langkah berhati-hati yang berterusan terhadap konflik Asia Barat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harga minyak meningkat dalam dagangan Asia apabila pelabur memberi tumpuan kepada kemungkinan konflik di Asia Barat meningkat, menjelang tarikh akhir berkaitan Selat Hormuz yang ditetapkan oleh Presiden AS Donald Trump.
“Pasaran mengambil kira kemungkinan perang berakhir atau kemajuan ke arah gencatan senjata, yang boleh meredakan kebimbangan mengenai inflasi dan pertumbuhan ekonomi serta menyokong permintaan,” katanya.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.16 peratus kepada US$109.95 setong.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 10.5 sen kepada 840.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 10 sen kepada 746.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA