AM

Depani Situasi Dunia Dinamik, Peluang Warga Kerja UniMAP Terus Tingkat Keupayaan Diri

08/04/2026 04:13 PM

ARAU, 8 April (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya  setiap warga kerja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil peluang untuk terus memperkukuh peranan dan meningkatkan keupayaan diri bagi mendepani arus perubahan semakin mencabar serta situasi dunia yang dinamik dan memberi kesan kepada negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah baginda percaya dalam apa jua keadaan, sektor awam perlu sentiasa diperkasa dan dimodenkan agar kekal tangkas, cekap dan beramanah.

"Seiring dengan langkah yang diumumkan bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara, saya menyeru warga UniMAP agar terus komited memberikan perkhidmatan terbaik,” titah baginda sempena Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) 2025 di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan slogan baharu UniMAP iaitu “UniMAP: Universiti Premier Teknikal” yang menjadi simbol aspirasi baharu ke arah kecemerlangan global.

Baginda juga berharap pendekatan bekerja dari rumah (BDR) yang akan bermula pada 15 April nanti berasaskan kepercayaan, disiplin dan hasil kerja berkualiti.

Raja Muda Perlis bertitah fleksibiliti yang diberikan itu perlu dimanfaatkan seikhlasnya untuk meningkatkan produktiviti dan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan bukan sebaliknya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah warga kerja yang melaksanakan tugas dengan baik dan jujur wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya dan pihak pengurusan perlu memberi perhatian kepada kebajikan, pembangunan bakat serta laluan kenaikan pangkat secara adil dan saksama.

Sementara itu, Raja Muda Perlis bertitah slogan baharu UniMAP itu mencerminkan kematangan serta perkembangan pesat sebagai institusi berteraskan kejuruteraan dan teknologi.

“Pada usia 25 tahun, UniMAP perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan tinggi, keperluan industri dan persaingan antarabangsa demi mencapai kecemerlangan di peringkat tempatan dan global,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah baginda yakin penjenamaan itu mampu memperkukuh reputasi akademik dan penyelidikan, memperluas keterlihatan serta meningkatkan keyakinan pihak industri dan rakan strategik di samping menarik pelajar berkualiti dari dalam mahupun luar negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542476