AM

Kempen Internet Selamat Perkasa Pelajar IPT Depani Ancaman Siber, Penipuan Digital

20/04/2026 05:35 PM

MUAR, 20 April (Bernama) -- Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan penglibatan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dilihat berkesan memperkukuh kesedaran golongan terbabit terhadap risiko serta etika penggunaan Internet dan media sosial.

Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh Nur Camerlia Aina Mohamad Azhari, 22, berkata kempen itu membantu meningkatkan kesedaran untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Menurutnya, kempen berkenaan turut memupuk budaya advokasi dalam kalangan pelajar supaya lebih bertanggungjawab serta saling mengingatkan antara satu sama lain mengenai batas penggunaan Internet.

“Menerusi Kempen Internet Selamat dalam kalangan pelajar IPT dengan pendekatan rakan sebaya, ia mampu memperingatkan batas penggunaan Internet dan media sosial serta risiko seperti buli siber, penipuan, perjudian dan pelbagai perkara negatif lain.

“Rakan sebaya ialah individu paling dekat dengan golongan belia dan berperanan sebagai rujukan serta pembimbing,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir di sini hari ini.

Program itu dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 28 pelajar IPT terpilih sekitar Hab Pendidikan Pagoh.

Seorang lagi peserta, Nor Hidayah Mohd Fadzli, 20, yang merupakan pelajar Politeknik Tun Syed Nasir berkata penyertaannya dalam Kempen Internet Selamat memberi pendedahan jelas mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Katanya, sebelum ini dia tidak mengetahui kewujudan talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 yang boleh dihubungi bagi membantu menyekat penipuan.

“Selain itu, Kempen Interent Selamat turut melantik pelajar IPT sebagai Ikon Keselamatan Dalam Talian (K-DAT) yang berperanan membantu rakan, memberi sokongan serta meningkatkan kesedaran keselamatan dan etika penggunaan Internet dan media sosial,” katanya.

Sementara itu, MCMC memaklumkan kempen berkenaan merupakan usaha berterusan Kementerian Komunikasi untuk memperkasakan belia menghadapi ancaman dunia digital, dengan penekanan terhadap keselamatan dalam talian, ancaman siber, penipuan digital, buli siber, penyebaran maklumat palsu serta risiko perkongsian data peribadi secara berlebihan.

Sehingga 31 Mac 2026, sebanyak 47 program Kempen Internet Sselamat telah dilaksanakan di IPT seluruh negara melibatkan 23,196 pelajar, manakala program hari ini disertai 80 pelajar dan 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada IPT sekitar Pagoh termasuk UTHM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Politeknik Tun Syed Nasir.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547075