KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat rangkaian restoran stimbot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah lebih RM1.4 juta, dua tahun lepas.
Yong Pitt Lok, 48, didakwa sebagai seorang yang diamanahkan dengan penguasaan harta wang syarikat, telah melakukan pecah amanah berjumlah RM1,468,958.29 yang dipindahkan ke akaun bank miliknya untuk kepentingan sendiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis, di Jalan Radin Bagus 8, Bandar Baru Sri Petaling, dekat sini, antara 11 Mac dan 24 Okt 2024.
Pendakwaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latiff menawarkan jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Lee Keng Fatt yang mewakili Yong memohon jaminan rendah sekitar RM50,000 atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.
“Anak guam tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan. Dia juga tidak pernah gagal hadir semasa dipanggil sebanyak tiga kali untuk memberikan keterangan.
Beliau juga memohon mahkamah tidak menahan pasport anak guam kerana dia memerlukannya untuk ke luar negara bagi urusan perniagaan.
Hakim Azrul Darus membenarkan lelaki itu diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA