JENAYAH & MAHKAMAH

Mahasiswa Mengaku Tidak Bersalah Aib Kehormatan Gadis

09/06/2026 02:33 PM

ALOR GAJAH, 9 Jun (Bernama) -- Seorang mahasiswa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini hari ini, atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang gadis pada Khamis lepas.

Muhammad Amir Nabil Salehuddin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan terhadap seorang gadis berusia 20 tahun di dalam sebuah kereta di Jalan Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (Lebuh SPA), di sini kira-kira 1.13 pagi pada 4 Jun.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan atau isyarat yang dimaksudkan untuk mengaibkan kehormatan seseorang yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, peguam Shahrul Amali Shafie memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM2,000 memandangkan lelaki itu masih belajar, manakala ibunya merupakan pesara kerajaan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,600 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa selain menetapkan sebutan semula kes pada 15 Julai ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2566419