JENAYAH & MAHKAMAH

Kilang Kayu Haram Tumpas, PGA Rampas RM1.69 Juta

19/06/2026 10:26 AM

GUA MUSANG, 19 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan sebuah kilang kayu haram di Kampung Sungai Bayu di sini menerusi Op Taring Wawasan Kelantan semalam, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM1.69 juta.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan kira-kira 4 petang itu dilakukan anggota Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Jajahan Machang di sebuah kilang yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah.

Beliau berkata sebuah lori yang membawa muatan kayu serta lima individu yang sedang menjalankan kerja pemprosesan kayu ditahan ketika serbuan dilakukan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai peralatan dan jentera termasuk dua mesin gergaji pita serta ribuan batang kayu pelbagai spesies dan saiz. Rampasan melibatkan 2,100 batang kayu siap, 307 batang kayu bulat dan lima bundle kayu selinap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Machang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570281