PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi kemungkinan peningkatan risiko bencana susulan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang dijangka mempengaruhi cuaca negara hingga awal 2027.
JBPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menggerakkan persediaan operasi, logistik dan koordinasi antara agensi secara menyeluruh bagi memastikan keupayaan respons kekal berada pada tahap optimum dalam melindungi keselamatan rakyat serta harta benda.
“JBPM ingin menegaskan bahawa seluruh keanggotaan dan aset jabatan kini berada dalam fasa kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang risiko kebakaran terbuka termasuk kebakaran hutan dan tanah gambut yang lazimnya meningkat sepanjang tempoh cuaca panas dan kering,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan tindakan tersusun dan respons yang pantas di lapangan, Arahan Persediaan Jabatan Menghadapi Musim Kemarau dan Kebakaran Hutan Gambut Tahun 2026 telah dikeluarkan sebagai mandat rasmi untuk JBPM negeri melaksanakan langkah persediaan serta tindakan luar jangka secara menyeluruh.
Menerusi arahan tersebut, operasi pemantauan dan tindakan pencegahan dipertingkat melalui rondaan berkala di kawasan titik panas atau hotspot berdasarkan data sejarah kejadian kebakaran.
“Pada masa sama, kedudukan dan kefungsian infrastruktur kritikal seperti telaga tiub, water check dam dan watch tower turut dikenal pasti serta dipastikan berada dalam keadaan optimum bagi menyokong keberkesanan operasi pemadaman sekiranya berlaku insiden,” menurut kenyataan itu.
JBPM turut memperkukuh koordinasi strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan kesiapsiagaan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penyelarasan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi pengurusan risiko kebakaran tapak pelupusan sampah dan penggunaan pam berkapasiti tinggi bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Turut dilaksana adalah pemeriksaan kefungsian water check dam bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), serta pemantauan kawasan berisiko tinggi bersama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Sebagai langkah tambahan, JBPM bersedia mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu dan Pembakaran Terbuka sekiranya berlaku peningkatan panggilan kecemasan melebihi paras kebiasaan bagi membolehkan tindakan operasi diselaras dengan lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.
Dari sudut kesiapsiagaan logistik pula, JBPM memastikan semua jentera dan peralatan pemadaman berada dalam keadaan siap siaga termasuk penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta pengukuhan pelan komunikasi operasi menggunakan sistem Government Integrated Radio Network (GIRN).
Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan awam sentiasa berada pada tahap optimum, JBPM akan terus memantau indikator titik panas dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui platform digital agensi rakan strategik termasuk Agensi Angkasa Malaysia (MySA), Jabatan Alam Sekitar (JAS), aplikasi myCuaca serta Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) oleh MET Malaysia.
JBPM menyeru orang ramai agar menggunakan sumber air secara berhemat, mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang insiden kebakaran kepada talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan awal dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
-- BERNAMA