KUCHING, 15 Jun (Bernama) -- Lebih 3,500 individu dijangka menyertai perarakan “Niti Daun” pada Sabtu ini, yang merupakan sebahagian daripada sambutan Gawai Dayak peringkat negeri, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata perarakan berkenaan akan bermula dari Bangunan Tun Jugah menuju ke Kuching Waterfront, lokasi program utama dan penutup sambutan itu.
“Segala persiapan telah dirancang dengan rapi. Kami yakin sambutan Gawai Dayak tahun ini akan sekali lagi menampilkan acara yang menarik.
“Sebanyak 99 kontinjen mengambil bahagian pada perarakan ini dengan anggaran purata 30 peserta bagi setiap kontinjen,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan sambutan itu di sini hari ini.
Sementara itu, Uggah berkata majlis makan malam Gawai Dayak peringkat negeri akan diadakan pada Ahad (21 Jun) dengan dijadual dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata majlis berkenaan akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
-- BERNAMA