AM

Jumlah Penagih Dadah Di Sabah Turun 5.9 Peratus Tahun Lepas - AADK

15/06/2026 05:35 PM

KOTA KINABALU, 15 Jun (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan sebanyak 8,665 penagih dadah di Sabah pada 2025, yang menyaksikan penurunan sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata pada 2024, sebanyak 9,207 orang dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan di negeri ini.

Beliau berkata Sabah juga berada pada kedudukan terbaik bagi seluruh negara pada 2025 dengan kadar 230 orang penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

“Kejayaan ini bukti nyata keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ruslin berkata mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor itu antara lain turut meluluskan dua kertas pertimbangan bagi memastikan momentum berkenaan berterusan ke arah sasaran Dadah Terkawal 2030.

Beliau berkata kertas pertimbangan yang dibentangkan oleh AADK dan SKUAD Antidadah Sabah itu merangkumi perluasan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Sektor Awam Negeri Sabah dan Pemerkasaan SKUAD Antidadah Membangun Komuniti Berdaya Tahan.

“Usaha ini adalah langkah strategik baharu bagi membangunkan komuniti yang mempunyai daya tahan tinggi sekali gus menyebar luas kempen pendidikan pencegahan dan kesedaran awam mengenai bahaya penyalahgunaan dadah atau bahan dalam kalangan masyarakat Sabah,” katanya.

Ruslin berkata AADK menzahirkan penghargaan tinggi kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan penuh terhadap pelaksanaan Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah yang kini memberi fokus kepada dua lokasi rintis, iaitu Kampung Likas, Kota Kinabalu; dan Kampung Benoni, Papar.

Beliau berkata inisiatif intervensi komuniti ini turut diperkukuh melalui pemerkasaan Program SKUAD Antidadah Bersatu Lawan Najis Dadah bagi membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan komuniti setempat.

Katanya, AADK juga sedang giat menggerakkan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di peringkat nasional menggunakan model kitaran tindakan strategik dua hala, iaitu pendekatan pihak atasan ke bawah dan akar umbi ke atas.

Ruslin berkata pendekatan hibrid itu bertujuan memobilisasikan komuniti secara total sekali gus membina benteng pertahanan sosial bermula dari institusi keluarga bagi mengurangkan kebergantungan serta permintaan terhadap dadah atau bahan.

“AADK menaruh keyakinan tinggi bahawa komitmen padu ditunjukkan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah akan menghasilkan keputusan konstruktif, praktikal dan berimpak tinggi demi memastikan Sabah dan Malaysia amnya bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568787