POLITIK

UPKO Komited Perkukuh Gabungan GRS – Ewon

19/06/2026 02:23 PM

KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) komited menyumbang kepada usaha memperkukuh sekali gus memperkasakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menerajui kepimpinan, pentadbiran dan pembangunan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata komitmen itu susulan penerimaan UPKO sebagai parti komponen GRS selepas permohonan menyertai gabungan tersebut diterima secara rasmi semalam.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS dan anggota Majlis Tertinggi atas penerimaan UPKO sebagai parti komponen.

“GRS ialah satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah, maka sepatutnya inilah rumah sebenar parti politik dari Sabah.

“Hanya parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami citra Sabah dalam membangun masa depannya melalui apa yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon turut mengajak semua rakyat Sabah supaya bersatu bersama-sama GRS bagi membina wawasan Sabah First, Sabah Prosper, Sabah United.

Kemasukan UPKO menjadikan GRS kini dianggotai enam parti komponen merangkumi Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570401