ALOR SETAR, 19 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis menahan sebuah vesel nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menangkap ikan di perairan barat Tanjung Chinchin dekat Langkawi, semalam.
Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata penahanan pada 11.40 pagi di kedudukan kira-kira 9.4 batu nautika dari barat Tanjung Chinchin dilakukan oleh bot APMM yang menjalankan rondaan Ops Aman, Ops Tiris 4.0 dan Ops Khas Tanjung 2 Siri 1/2026.
Beliau berkata vesel itu dikendalikan seorang tekong dengan tiga kru warga Thailand berusia 32 hingga 52 tahun.
“Pemeriksaan mendapati vesel itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari jarak 15 batu nautika yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel, peralatan dan hasil tangkapan dianggarkan berjumlah RM320,000 dan mereka ditahan serta barang kes dibawa ke jeti Ibu Pejabat APMM Negeri Kedah/Perlis bagi siasatan lanjut.
Beliau berkata APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan akan terus memperkukuh operasi serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi membanteras kegiatan haram di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat APMM Kedah/Perlis menerusi talian 04-966 2750 bagi tindakan segera.
-- BERNAMA