JENAYAH & MAHKAMAH

TUDM Terima Sistem Persenjataan Baharu Perkukuh Operasi CSAR

20/06/2026 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sistem persenjataan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M sempena Hari Terbuka TUDM ke-68 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

​TUDM dalam kenyataan memaklumkan perolehan sistem itu bertujuan memperkukuh keupayaan operasi Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) di kawasan berisiko tinggi selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55). 

​Menurut TUDM, sistem berkenaan juga akan memenuhi keperluan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, sekali gus meningkatkan keselamatan anak kapal dan anggota dalam misi menyelamat. 

​Kenyataan itu memaklumkan Kerajaan Malaysia telah menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) bersama syarikat pembuat senjata terkemuka dari Belgium, FN HERSTAL bagi perolehan lima unit mesingan berkenaan.

​"Senjata ini merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia," menurut kenyataan itu.

​TUDM memaklumkan sebelum penyerahan rasmi itu, proses Ujian Penerimaan Akhir (FAT) telah dijalankan bermula 30 Mac hingga 4 Jun lepas membabitkan No 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.

​Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan TUDM. 

​Terdahulu, majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Airbus Helicopters Axel de Pascal kepada Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris. 

​-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570962