AM

Kawasan Terjejas Ribut Di Bercham Ditutup, Aktiviti Pergerakan Dihadkan - Polis

21/06/2026 02:58 PM

IPOH, 21 Jun (Bernama) -- Polis menutup lima zon dalam kawasan bencana yang terjejas akibat ribut di sekitar Bercham dan mengehadkan pergerakan keluar masuk bagi mengelak kecurian harta benda atau pecah masuk rumah mangsa di kawasan berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Polis (ACP) Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya bagaimanapun memberi kelonggaran kepada penduduk yang mahu keluar dan masuk ke kawasan yang terjejas kerana mahu membersihkan kawasan sekitar kediaman mereka pada waktu malam.

"Kita akan lebih ketat (mengehadkan pergerakan) pada waktu malam sebab ada kawasan yang terjejas antaranya di Anjung Bercham masih lagi tidak mempunyai bekalan elektrik.

"Jika ada penduduk hendak kemas rumah atau barang pada waktu malam, kita akan pantau. Kita akan tanya dia sama ada itu betul rumah dia sebab kita risau juga ada kejadian kalau dia kemas tapi sebenarnya dia mencuri," katanya pada sidang media selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Balai Polis Bercham, di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat 8 pagi tadi pihaknya menerima 492 laporan mengenai kejadian ribut yang berlaku menerusi Op Bencana dan tidak mengehadkan tempoh untuk mana-mana mangsa untuk membuat laporan.

Dalam pada itu, Muhammad Najib berkata setakat ini nilai kerugian di kawasan terjejas akibat ribut masih belum dapat dipastikan.

Semalam, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dilaporkan berkata kejadian ribut yang berlaku pada Jumaat lepas disifatkan luar biasa sehingga menjejaskan lebih 200 buah rumah membabitkan lima kawasan di sekitar Bercham.

Kulasegaran yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata kejadian berkenaan yang tidak pernah dilaporkan berlaku sebelum ini, dipercayai berpunca daripada fenomena 'belalai darat'.

Antara kawasan yang terjejas ialah Anjung Bercham Utara, Taman Mujur, Kampung Bercham, Kampung Tersusun Tasek, Taman Pusat Bercham dan Taman Indah Sakti.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571129