Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan baru-baru ini, yang menyaksikan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai beberapa perjanjian baharu selepas 30 tahun bertapak di negara itu, perlu dilihat lebih daripada sekadar misi diplomatik, menurut pakar ekonomi.
Mereka berkata lawatan tersebut bukan sahaja memperkukuh kepentingan strategik Malaysia, malah meningkatkan keyakinan pelabur serta menyerlahkan keupayaan syarikat Malaysia di pasaran antarabangsa.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu adalah tepat pada masanya susulan peningkatan risiko geopolitik dan ketidaktentuan global, termasuk peluasan dasar perdagangan perlindungan oleh Amerika Syarikat.
“Petronas merupakan nama besar dalam industri minyak dan gas, dan ia membawa impak signifikan terhadap hubungan Malaysia dengan rantau Eropah Timur secara lebih luas.
“Ia juga menunjukkan pentadbiran semasa mengambil pendekatan pragmatik dan proaktif bagi memastikan isu seperti keselamatan tenaga dan kepelbagaian perdagangan ditangani secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama.
Mengenai kesan limpahan (spillover) perjanjian tenaga tersebut terhadap ekonomi Malaysia, beliau berkata ia berpotensi membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam sektor tenaga.
“Selain itu, ia turut menggalakkan penglibatan lebih luas dalam sektor perkhidmatan, khususnya perkhidmatan kewangan, selain perkembangan pesat teknologi sistem pembayaran yang menyokong integrasi ekonomi lebih besar melalui e-dagang,” katanya.
Seiring pandangan itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata lawatan berkenaan memberi tiga isyarat positif kepada pelabur, iaitu memperlihatkan diplomasi ekonomi yang proaktif, mengukuhkan keyakinan terhadap daya saing global syarikat Malaysia, serta meningkatkan imej Malaysia sebagai negara yang mempunyai hubungan antarabangsa yang stabil.
“Pelabur lazimnya cenderung kepada negara yang pemimpinnya aktif mendapatkan sumber strategik, pasaran dan pelaburan di luar negara. Penglibatan langsung Perdana Menteri dalam memudah cara perjanjian tenaga utama menunjukkan kerajaan yang menyokong syarikat nasional dan pengembangan perniagaan antarabangsa,” katanya
Pada Sabtu, Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd memeterai beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.
Antara perjanjian tersebut termasuk kerjasama dengan State Concern Turkmennebit dan State Enterprise Hazarnebit bagi memperkukuh kehadiran di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluan di negara berkenaan.
Barjoyai berkata Petronas telah beroperasi di Turkmenistan selama 30 tahun dan kekal sebagai antara pelabur asing yang dipercayai, sekali gus mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran dan standard tadbir urus Malaysia.
“Dalam persekitaran geopolitik yang tidak menentu, pelabur menghargai negara yang mengekalkan hubungan konstruktif merentas rantau. Penglibatan Malaysia yang semakin meluas di Asia Tengah turut memperluas jaringan ekonomi melepasi pasaran tradisional,” katanya.
“Dari sudut pelabur, lawatan ini bukan pengubah permainan secara langsung, namun ia mengukuhkan persepsi bahawa Malaysia sedang giat meneroka peluang ekonomi jangka panjang dan keselamatan tenaga,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerjasama strategik tersebut mencerminkan tahap kepercayaan yang tinggi antara kedua-dua kerajaan dan institusi.
“Hubungan diplomatik yang kukuh lazimnya menjadi pembuka pintu kepada perniagaan,” katanya.
Beliau berkata antara peluang berpotensi termasuk projek tenaga dan petrokimia, pembangunan pembinaan dan infrastruktur, perkhidmatan penerbangan dan logistik susulan Perjanjian Perkhidmatan Udara, pendidikan teknikal dan latihan, teknologi digital serta infrastruktur pintar, serta perdagangan pertanian dan makanan.
“Secara sejarah, apabila syarikat utama seperti Petronas berjaya membina kredibiliti di sesebuah negara, syarikat Malaysia lain lazimnya lebih mudah memasuki pasaran tersebut. Dalam konteks itu, Petronas berperanan sebagai duta ekonomi Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA