EKONOMI

Keuntungan Selepas Cukai JCorp Naik Berganda Kepada RM703 Juta

22/06/2026 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Keuntungan selepas cukai (PAT) Johor Corporation (JCorp) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 naik lebih dua kali ganda kepada RM703 juta berbanding tahun sebelum ini selepas dipacu oleh pertumbuhan dan prestasi kukuh merentas segmen perniagaan utamanya.

Pendapatan pula meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM7.63 bilion daripada RM6.96 bilion berikutan momentum yang mampan di seluruh sektor teras kumpulan terutamanya penjagaan kesihatan dan perniagaan tani.

“Pertumbuhan itu juga disokong oleh pengurusan kos yang berdisiplin, kecekapan operasi yang lebih baik dan sumbangan yang lebih tinggi di seluruh portfolio,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata KPJ Healthcare Bhd kekal sebagai penyumbang terbesar pendapatan, mencatatkan RM4.26 bilion pada tahun kewangan 2025, peningkatan sembilan peratus berbanding tahun kewangan 2024, dipacu oleh aktiviti pesakit dalam, pesakit luar termasuk pembedahan yang lebih tinggi di seluruh rangkaiannya.

“Bagi perniagaan tani yang diterajui Kulim (Malaysia) Bhd dan disokong oleh Johor Plantations Group Bhd (JPG), ia telah menyaksikan pendapatannya menokok kepada RM1.76 bilion pada tahun kewangan 2025, dirangsang oleh harga komoditi yang menggalakkan, kecekapan operasi yang lebih tinggi dan produktiviti yang mampan di seluruh operasi perladangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JCorp Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata prestasi tahunan yang mantap ini menunjukkan nilai pengurusan jangka panjang, pelaksanaan berdisiplin dan hala tuju strategik yang jelas.

Onn Hafiz, yang juga Menteri Besar Johor memberitahu dengan minat pelaburan yang semakin melonjak di Johor, JCorp memainkan peranan penting dalam memastikan peluang ekonomi diterjemahkan kepada penciptaan nilai mampan, pekerjaan berkualiti dan komuniti yang berkembang maju.

“Sebagai institusi pembangunan utama negeri, JCorp kekal komited untuk memangkin pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memperkukuh daya tahan ekonomi bagi manfaat rakyat Johor.

“Matlamat JCorp adalah sejajar dengan aspirasi Maju Johor, yang bertujuan membina Johor yang lebih makmur, inklusif dan bersedia untuk masa depan melalui pertumbuhan ekonomi yang mampan, komuniti yang kukuh dan peluang yang lebih besar untuk semua,” tambahnya.

Setakat 31 Dis 2025, aset bersih kumpulan berjumlah RM12.21 bilion, bertambah daripada RM11.76 bilion pada tahun kewangan 2024, manakala jumlah aset di bawah pengurusan mencecah kira-kira RM30 bilion.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571532