SUKAN

ISN, Monash Perkukuh Sokongan Psikologi Atlet Kebangsaan

22/06/2026 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Monash Malaysia (MUM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama dua tahun bagi memperkukuh prestasi atlet, kesejahteraan mental serta pembangunan kapasiti profesional dalam ekosistem sukan berprestasi tinggi negara.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada integrasi sains sukan, perubatan sukan dan perkhidmatan sokongan psikologi untuk atlet kebangsaan, tanpa sebarang implikasi kewangan secara langsung antara kedua-dua institusi.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P. Vellapandian berkata kerjasama itu merupakan langkah strategik ke arah memperkukuh sistem sokongan atlet, selain memperkasa peranan psikologi dalam sukan berprestasi tinggi.

Beliau berkata kejayaan sukan elit pada masa kini tidak lagi hanya bergantung kepada persiapan fizikal semata-mata.

“Ketahanan mental, kesejahteraan psikologi dan kesiapsiagaan emosi kini semakin diiktiraf sebagai faktor kritikal yang menentukan prestasi atlet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan MUM, Brig Jeneral (B) Prof Datuk Dr Mohd Arshil Moideen berkata MoU berkenaan membuka ruang kepada kerjasama antara disiplin yang lebih luas.

Beliau berkata, kerjasama berdasarkan skop yang dipersetujui kedua-dua pihak itu mampu menyokong inisiatif masa depan dalam bidang penyelidikan, pendidikan, penjagaan kesihatan, sains sukan serta pembangunan atlet.

Katanya kerjasama berkenaan juga dibina berasaskan beberapa inisiatif bersama yang telah dilaksanakan oleh MUM dan ISN sejak tahun lalu, termasuk bengkel membabitkan ahli psikologi sukan, atlet dan jurulatih.

Menurut kenyataan itu, MoU berkenaan meliputi perkhidmatan psikologi khusus dalam kesihatan mental, kaunseling, psikologi sukan dan psikologi klinikal, selain mekanisme rujukan dua hala bagi kes psikologi dan klinikal kompleks yang memerlukan intervensi khusus.

Kerjasama itu turut merangkumi perkongsian ilmu, pembangunan profesional, inisiatif penyelidikan, penempatan pelajar serta program latihan industri, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua institusi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571673