AM

TUDM Sahkan Empat Warga Asing Diperiksa Pada Hari Terbuka Di Pangkalan Udara Kuantan

22/06/2026 09:10 PM

KUANTAN, 22 Jun (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan gambar tular di media sosial yang memaparkan empat warga asing sedang diperiksa anggota pasukan keselamatan itu pada Hari Terbuka TUDM 2026 di Pangkalan Udara Kuantan semalam.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan itu dilakukan ketika pasukan keselamatan melaksanakan rondaan dan mendapati keempat-empat individu berkenaan menghampiri had kawasan yang dikhususkan untuk pengunjung awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan atau integriti pangkalan. Pemeriksaan ke atas peralatan kamera serta telefon bimbit mereka juga tidak menemukan sebarang bahan yang mencurigakan,” menurut kenyataan itu.

TUDM menjelaskan pemeriksaan keselamatan secara rawak adalah prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang program yang melibatkan kehadiran orang awam.

Menurut kenyataan itu, TUDM akan terus memastikan keselamatan aset strategik, warga pangkalan serta pengunjung sentiasa terpelihara. 

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial yang memaparkan gambar dipercayai empat jurukamera warga asing ditahan anggota TUDM kerana menghampiri kawasan larangan di Pangkalan Udara Kuantan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571682