ISTANBUL, 22 Jun (Bernama-Anadolu) -- Pergerakan kapal melalui Selat Hormuz kembali meningkat mendadak selepas sekatan ditarik balik, namun pemulihan di satu daripada laluan penting tenaga dunia itu kekal rapuh menurut data MarineTraffic, lapor Anadolu Ajansi.
Melalui hantaran di platform media sosial X pada Isnin, MarineTraffic memaklumkan bahawa ia merekodkan 71 transit disahkan melalui Selat Hormuz antara 19 hingga 21 Jun, dengan kemuncak lintasan sebanyak 35 buah kapal pada 20 Jun.
Peningkatan itu menyusul selepas isyarat baharu berhubung laluan bebas merentasi laluan air berkenaan dikeluarkan. Lebih banyak kapal juga kini melakukan transit dengan mengaktifkan Sistem Identifikasi Automatik (AIS) masing-masing, sekali gus menunjukkan peningkatan berperingkat dalam keyakinan pengendali kapal.
Bagaimanapun, aliran trafik masih belum pulih sepenuhnya. MarineTraffic menyatakan bahawa aktiviti perkapalan kekal di bawah paras sebelum krisis, manakala banyak kapal terus menggunakan corak laluan Iran atau laluan gelap (kapal mengehadkan atau mematikan fungsi dikesan AIS) ekoran kebimbangan mengenai keselamatan.
Selat Hormuz merupakan laluan utama bagi perdagangan tenaga global. Aliran minyak melalui laluan air itu mencatatkan purata 20 juta tong sehari pada 2024, bersamaan kira-kira 20 peratus daripada penggunaan cecair petroleum global, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Peningkatan terbaharu dalam bilangan lintasan kapal itu berlaku susulan gangguan teruk terhadap industri perkapalan di Teluk sebelum ini akibat tindakan sekatan serta ketegangan serantau yang memuncak. Walaupun kelonggaran sekatan membolehkan lebih banyak kapal menyambung semula pelayaran, ketidaktentuan diplomatik terus membebankan pemilik kapal, syarikat insurans dan pencarter kapal.
Selain itu, usaha pembersihan periuk api yang masih belum selesai turut menyebabkan pengendali kapal berwaspada untuk kembali sepenuhnya ke corak laluan normal.
Pemulihan yang rapuh ini menekankan kepentingan jaminan laluan selamat yang berterusan bagi eksport tenaga Teluk, memandangkan sebarang gangguan baharu akan memberi kesan langsung kepada aliran minyak mentah, produk tapisan dan gas asli cecair (LNG), khususnya kepada pengimport di Asia.
-- BERNAMA-ANADOLU