Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kekangan penglihatan akibat masalah saraf mata yang berpunca daripada meningitis tuberkulosis ketika berusia 18 tahun menyebabkan Siti Sara Ilias tidak pernah berpeluang belajar berenang sebelum ini.
Bagaimanapun, impiannya untuk menguasai kemahiran berenang akhirnya tercapai menerusi program Splash of Confidence anjuran Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) sejak 2024.
Siti Sara, 31, yang mengikuti kursus pengurusan pejabat di Pusat Latihan Gurney MAB di Brickfields, berkata program itu membuka ruang buat dirinya yang sebelum ini sangat takutkan air.
pic-2
"Dulu memang ada niat hendak belajar berenang, tetapi tiada peluang kerana tiada platform yang sesuai. Sebelum ini, saya takut akan lemas setiap kali berada di dalam air, namun kini saya sudah boleh terapung dan berenang, sekali gus meningkatkan keyakinan diri," katanya kepada Bernama selepas program Splash of Confidence 3.0: 75 Waves of Courage, di sini, baru-baru ini.
Keazaman sama turut ditunjukkan oleh Muhammad Rushaidi Muhammad Fuad, 20, yang sanggup datang dari Batu Pahat, Johor, untuk menyertai program berkenaan selepas menerima pelawaan daripada MAB.
Pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail itu, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan kategori B2 mengakui tidak pernah mengikuti kelas renang secara formal sebelum ini dan melihat program berkenaan sebagai peluang untuk mempelajari teknik renang yang betul.
pic-3
"Cabaran utama ialah saya perlu belajar teknik pernafasan dan membina keyakinan diri kerana sebelum ini saya tidak pernah belajar berenang secara terperinci. Tetapi dengan tunjuk ajar fasilitator, saya semakin yakin untuk berada di dalam air," katanya.
Mereka adalah antara 40 peserta OKU penglihatan yang melakar sejarah bersama-sama 35 fasilitator apabila berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Participants in an Inclusive Swimming Programme menerusi formasi ‘75 Unity of Splash’ bersempena dengan program Splash of Confidence 3.0: 75 Waves of Courage.
Penasihat program Splash of Confidence Dr Noor Hamzani Farizan berkata inisiatif berkenaan bermula pada 2024 sebagai platform bagi pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan UPNM mempraktikkan kemahiran yang dipelajari menerusi kursus renang selama 14 minggu.
pic-4
Beliau yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah) Akademi Kecergasan Pertahanan UPNM berkata program itu menyaksikan peningkatan penyertaan yang ketara pada tahun ini berbanding dua siri sebelum ini, sekali gus membuktikan peningkatan keyakinan dan minat golongan OKU penglihatan terhadap aktiviti akuatik.
"Pada peringkat awal, kami memberi tumpuan kepada kemahiran asas renang sebelum memperkenalkan elemen keselamatan air pada edisi kedua bagi melatih peserta bertindak sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di air.
"Bagi edisi ketiga ini, kami mahu meningkatkan keyakinan peserta untuk terlibat dalam aktiviti air menerusi pelbagai kemahiran asas renang selain percubaan mencipta rekod MBOR, meskipun mempunyai keterbatasan penglihatan," katanya.
pic-5
Beliau berkata kemahiran berenang bukan jaminan mutlak seseorang itu terselamat daripada risiko lemas, namun pemahaman yang mendalam mengenai asas keselamatan air mampu mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Lebih istimewa, Noor Hamzani berkata hasil kompilasi data dan pengalaman sepanjang tiga tahun pelaksanaannya sejak edisi pertama, sebuah Modul Keselamatan Air Braille pertama di Malaysia untuk memperluaskan akses pendidikan keselamatan air.
Menurutnya, modul berkenaan mengandungi panduan kemahiran asas renang serta keselamatan air yang disesuaikan khusus melalui modifikasi kaedah pendengaran seperti penggunaan bunyi wisel, suara jurulatih, dan arahan lisan yang lebih tepat dan jelas, selain sentuhan yang selamat bagi mengatasi ketakutan di air.
pic-6
"Modul ini diterjemahkan ke dalam edisi Braille supaya penunjuk ajar dalam kalangan OKU penglihatan itu sendiri juga boleh membantu berkongsi dan menyebarkan ilmu ini bersama kawan-kawan yang lain,” katanya yang bercadang memperluaskan program ini kepada orang awam pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Datuk George Thomas berkata modul keselamatan air dalam tulisan Braille yang diperkenalkan menerusi program berkenaan akan dijadikan panduan dalam sesi latihan dan aktiviti kesedaran melibatkan komuniti OKU penglihatan.
Katanya, modul itu akan diedarkan kepada peserta OKU penglihatan, jurulatih dan fasilitator sebagai rujukan dalam pelaksanaan latihan kemahiran asas renang serta penerapan amalan keselamatan air.
pic-7
Beliau berkata aspek keselamatan air perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan golongan OKU penglihatan dapat menikmati pengalaman menyertai aktiviti air dan sukan akuatik dalam persekitaran yang selamat.
"Masih ramai yang beranggapan individu yang mengalami masalah penglihatan tidak mampu menyertai aktiviti sukan dan rekreasi seperti orang lain.
"Sukan bukan untuk orang normal sahaja, tetapi untuk OKU juga. Ramai orang apabila memikirkan tentang individu yang tidak dapat melihat, mereka menganggap golongan itu tidak boleh melakukan apa-apa, sedangkan mereka juga mempunyai potensi dan kebolehan seperti orang lain," katanya.
Beliau berkata pencapaian atlet para negara di pelbagai kejohanan antarabangsa membuktikan golongan OKU mampu mengharumkan nama negara menerusi bidang sukan.
-- BERNAMA