KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Perancangan jangka panjang bagi meningkatkan kapasiti sumber air, pemerkasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) serta tujuan pelaksanaan pengesahan umur bagi akaun media sosial antara perkara yang dijadualkan dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dimuat naik menerusi laman sesawang rasmi Parlimen, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan pelan jangka panjang kerajaan bagi meningkatkan kapasiti sumber air negeri memandangkan Johor kini menjadi hab utama pusat data di Asia Tenggara, pada sesi soal jawab.
Beliau juga ingin mengetahui tentang pembinaan empangan, loji rawatan air dan penggunaan air kitar semula bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Selain itu, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengemukakan soalan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai langkah kerajaan memperkasakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menjalankan pemantauan terhadap tawaran harga dan pakej perumahan.
Beliau turut meminta penjelasan berhubung pelaksanaan siasatan yang berkesan terhadap amalan antipersaingan dalam pasaran perumahan, termasuk kemungkinan berlakunya penetapan harga atau manipulasi pasaran.
Syahredzan Johan (PH-Bangi) pula menanyakan Menteri Komunikasi tujuan pelaksanaan pengesahan umur bagi akaun media sosial dan kaedah kementerian dalam memastikan penyedia perkhidmatan berlesen hanya diberi akses kepada data peribadi yang terhad dan berkadar, selain diwajibkan memadamkan data tersebut setelah tujuan pengumpulannya dipenuhi.
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 16 hari hingga 16 Julai ini.
-- BERNAMA