DUNIA

Xi Turun Padang Tinjau Pembangunan Pertanian Di Dezhou

25/06/2026 02:31 PM

DEZHOU, 25 Jun (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menegaskan keperluan pelaksanaan pelbagai tugasan berkaitan pertanian dan pembangunan luar bandar diperincikan, memandangkan pemodenan kedua-dua sektor merupakan komponen penting dalam usaha merealisasikan modenisasi ala China.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan di Dezhou, wilayah Shandong pada Rabu.

Xi memulakan lawatan di Kampung Dongyujia, pekan Bianlin di daerah Lingcheng, bagi meninjau hasil tuaian gandum, penanaman jagung serta bekalan input pertanian.

Selepas memeriksa kemudahan pengairan dan sistem pembajaan bersepadu air-baja di tebing saliran, beliau berjalan kaki ke kawasan pertanian untuk beramah mesra dengan wakil petani, pengendali jentera serta kakitangan teknikal pertanian.

Xi menegaskan bahawa memastikan bekalan bijirin merupakan keutamaan dalam pengeluaran pertanian.

Menurut beliau, pelbagai dasar sokongan perlu dilaksanakan secara berkesan bagi memastikan hasil tuaian bijirin yang melimpah sepanjang tahun.

Di samping itu, infrastruktur pertanian juga perlu ditambah baik, selain meningkatkan keupayaan menyelamat serta usaha pencegahan dan mitigasi bencana.

Xi kemudian meneruskan lawatan ke Kampung Xiyujia yang berhampiran, yang diiktiraf sebagai “kampung bertamadun peringkat kebangsaan”.

Selepas diberi penerangan mengenai kemudahan perkhidmatan awam serta usaha setempat dalam meneroka pendekatan pembangunan luar bandar yang bersesuaian, beliau turut melawat pameran hasil sampingan pertanian. 

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572867