DALIAN (China), 25 Jun -- China akan terus memperhalusi pelaksanaan pelbagai projek kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan antarabangsa demi meningkatkan kesalinghubungan antara pasaran negara itu dengan pasaran dunia tanpa mengira perubahan dalam persekitaran luar.
Perdana Menteri China Li Qiang berkata demikian selepas mendengar ucapan para perwakilan pada Simposium Perniagaan Forum Davos Musim Panas 2026 di sini pada petang Rabu.
Beliau berkata produk berkualiti tinggi yang dieksport dari China merupakan sumbangan penting kepada ekonomi global serta membantu meningkatkan keberkesanan ekonomi dan kebajikan rakyat di negara-negara pengimport.
"Kami tidak pernah secara sengaja mengejar lebihan perdagangan. Sebaliknya, kami sentiasa berkongsi pasaran domestik dengan dunia dan bersedia mengimport lebih banyak produk berkualiti dari pelbagai negara.
“Kami komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memperbesar “kek perdagangan”, sekali gus menggalakkan pembangunan perdagangan yang seimbang, optimum dan mampan," katanya.
Li berkata kerajaan China akan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada syarikat dari pelbagai negara selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih terbuka, adil dan mesra pelabur.
Bagi mencapai matlamat itu, China akan terus memperluas skop pembukaan sektor perkhidmatan, melaksanakan lebih banyak langkah substantif, menyeragamkan layanan terhadap perusahaan tempatan mahupun asing, serta menangani keperluan perusahaan dari pelbagai negara dengan lebih berhemah.
"Kami berharap pelabur asing dapat menjalankan perniagaan dengan yakin, bekerja dengan selesa dan mencapai prestasi cemerlang di China," katanya.
Kira-kira 150 wakil sektor industri dan perniagaan dari lebih 30 negara dan wilayah turut menghadiri simposium itu.
Para perwakilan dilaporkan menzahirkan keyakinan yang besar terhadap prospek pembangunan China, dan menyatakan kesediaan mereka untuk berkongsi peluang baharu dalam proses pembangunan berkualiti tinggi di negara itu, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia.
-- BERNAMA-CMG