KLUANG, 25 Jun (Bernama) -- Sebanyak 200 penunggang motosikal di Renggam menerima baucar minyak bernilai RM5, mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam mensejahterakan rakyat, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata inisiatif rakan strategik, Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu akan dilaksanakan secara berkala sebagai antara inisiatif kita mendekati rakyat pada peringkat akar umbi.
“Selain pemberian baucar, sesi taklimat isu semasa dan pertukaran pandangan turut diadakan melibatkan komuniti setempat bersama wakil Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan MKN,” katanya kepada Bernama pada Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai Edisi Piala Dunia di Renggam, di sini hari ini.
Abdullah Izhar berkata program itu juga memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, di samping menyuarakan pandangan serta cadangan mereka berkaitan isu setempat.
"Kita akan terus memperkasakan usaha mendekati rakyat di seluruh negara bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada maklumat yang sahih, memahami dasar-dasar kerajaan serta menikmati manfaat daripada pelbagai inisiatif dilaksanakan," katanya.
Seorang penerima baucar, M. Raja, 56, dari Taman Sri Jaya melahirkan rasa syukur dan berharap inisiatif sedemikian dapat diteruskan serta ditingkatkan lagi pada masa akan datang.
“Kalau dapat setiap bulan pun lagi bagus, apa pun saya sangat berterima kasih,” kata bapa lima cahaya mata itu.
Sementara itu, Hee Eeck Kwe, 66, dari Kampung Baru menzahirkan ucapan terima kasih kerana kerajaan tidak meminggirkan masyarakat luar bandar dalam pelaksanaan pelbagai bantuan.
-- BERNAMA