AM

PARLIMEN: KESUMA, JTM RANCANG GERAK KERJA WUJUDKAN ILJTM PREMIUM, PERKASA LATIHAN TVET

11/07/2024 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang merancang gerak kerja bagi mewujudkan Institut Latihan JTM (ILJTM) Premium, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata langkah itu antara inisiatif bagi menjenamakan semula program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah kementerian berkenaan.

“Inisiatif ini adalah satu usaha KESUMA untuk menawarkan program-program yang lebih fleksibel dan memenuhi keperluan industri, bekerjasama dengan syarikat-syarikat berimpak tinggi dalam memperkasakan latihan TVET negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pelan kementerian untuk memperkasakan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara bagi memastikan tenaga kerja negara dilatih untuk memenuhi keperluan industri pada sesi soal jawab.

Menjawab soalan tambahan Yii berkaitan langkah kementerian bagi mengelakkan berlakunya pertindihan dalam bidang-bidang kemahiran TVET, Abdul Rahman berkata KESUMA sudah mengambil langkah dengan menetapkan hanya satu peneraju bagi sesuatu bidang tertentu di sesebuah institusi.

“Pertindihan ini (juga) terdapat keperluan mengikut lokaliti bagi menampung jumlah permohonan yang tinggi dan kita telah bersedia untuk melaksanakan kajian iaitu rasionalisasi program di bawah kemahiran JTM,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai sama ada KESUMA bercadang untuk mengkaji elaun pelajar ILP semasa kursus dan latihan industri, Abdul Rahman memaklumkan perkara itu masih dikaji.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan