AM

GARIS PANDUAN AI DIJANGKA SIAP SEBELUM HUJUNG TAHUN- JDN

17/07/2024 04:07 PM

BATU GAJAH, 17 Julai (Bernama) -- Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) Negara kini dalam proses pemurnian dan dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara (JDN) Dr Fazidah Abu Bakar berkata pihaknya sedang memperhalusi garis panduan tersebut kerana ketika ini tiada panduan khusus yang boleh dirujuk berhubung teknologi berkenaan.

“Bermakna (kami) sedang merangka panduan yang kita sekarang ini tiada kawal selia dan panduan khusus, jadi (dalam) panduan khusus itu, kita perlu lihat dari semua aspek… kena tengok penyedia platform dan rakyat juga,” katanya selepas merasmikan Digital Document Management (DDMS) 2.0 Majlis Daerah Batu Gajah di sini hari ini.

Fazidah berkata garis panduan itu adalah berkaitan dengan etika integriti yang akan melibatkan semua golongan masyarakat dan ia kini dalam perbincangan di peringkat kementerian.

Beliau berkata demikian bagi menjawab langkah kerajaan dalam menangani isu deepfake yang melibatkan beberapa mangsa iaitu artis tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah Mohamad Razif Ramli, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM) Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Pengarah ANM Perak Shahida Mohamad Salleh.

Sementara itu, Mohamad Razif berkata Majlis Daerah Batu Gajah merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Perak menggunakan sistem DDMS dan yang ketiga di Malaysia dalam usaha menyahut saranan kerajaan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan.

“Pada 17 April lalu, sistem DDMS diaplikasikan sepenuhnya di Majlis Daerah Batu Gajah. Sistem ini secara langsung membolehkan gerak kerja berkaitan pengurusan rekod dilaksana secara atas talian dan akses yang meluas tanpa batasan masa serta lokasi.

“Selain itu, Majlis Daerah Batu Gajah juga telah menerima sijil penghargaan atas penggunaan sistem DDMS pada 13 Jun lepas bersempena Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2024,” katanya.

Setakat ini sistem itu telah digunakan oleh 370 agensi kerajaan dan bakal diperluas ke 500 agensi menjelang 2025.

DDMS 2.0 menempatkan 12.3 juta rekod dan memberi perkhidmatan kepada hampir 60,000 pengguna aktif iaitu penjawat awam.

--  BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan