AM

PROJEK JAMBATAN BERTAM DIJANGKA SIAP PADA 2025

17/07/2024 04:48 PM

GUA MUSANG, 17 Julai (Bernama) -- Projek pembinaan Jambatan Bertam yang bernilai RM9.039 juta dijangka dapat disiapkan pada Mac 2025 sekali gus memberi manfaat kepada penduduk kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sehingga 20 Jun lepas, kemajuan projek itu telah berada pada tahap 58.67 peratus dan mengikut jadual.

Beliau berkata projek itu berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang telah dipilih sebagai agensi yang terlibat melaksanakan projek berkenaan.

Ahmad berkata projek ini merupakan kesinambungan projek membina jalan dan jambatan dari Kampung Bertam Baru ke Kampung Bertam Lama, di sini.

“Pembinaan projek ini dijangka dapat menghubungkan jalan raya di antara kawasan Bertam Baru dan Bertam Lama yang sebelum ini dipisahkan oleh Sungai Nenggiri,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja di JKR Gua Musang, di sini hari ini.

Berikutan itu, jaringan jalan raya ini akan melengkapkan sistem rangkaian jalan yang menghubungkan kampung-kampung berdekatan seperti Kampung Limau Kasturi dan Kampung Jerek untuk ke Bandar Gua Musang dan sebaliknya.

“Ini bakal memanfaatkan penduduk sekitar seramai 5,000 orang dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk luar bandar dan jadi pemangkin serta pemboleh bagi penduduk mengeluarkan, menghantar dan memasarkan hasil pertanian.

“Kementerian saya berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa,” katanya.

Ahmad berkata fokus berterusan terhadap jalan raya ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membina rangkaian perhubungan jalan raya dan infrastruktur selesa serta selamat kepada rakyat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan