SUKAN

SUKMA 2024: WIPERS BURU 70 PINGAT EMAS, JUARA KESELURUHAN

17/07/2024 05:49 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) menyasarkan kutipan 70 pingat emas dalam usaha merealisasi misi muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17-24 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sasaran tersebut bersandarkan kejayaan WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan merangkul 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa pada SUKMA 2022.

"Ia memberi keyakinan kepada saya untuk menetapkan sasaran ini. Selepas kali terakhir memenangi juara keseluruhan pada SUKMA 2014, sudah semestinya harapan besar buat kontinjen supaya muncul kembali sebagai juara keseluruhan selepas 10 tahun menanti.

"Saya yakin dengan kemampuan atlet-atlet kita dan percaya bahawa anda semua akan terus membawa kejayaan," katanya pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen WiPers SUKMA 2024 di Menara Seri Wilayah, di sini hari ini. 

Beliau berkata WiPers menghantar antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini berjumlah 1,011 merangkumi 705 atlet serta 306 pegawai dan menyertai kesemua 37 jenis sukan dipertandingkan.

Dr Zaliha turut mengumumkan insentif berjumlah sehingga RM5,000 buat pemenang pingat emas (individu dan berpasukan), RM2,000 bagi perak, manakala RM1,000 bagi gangsa sebagai pembakar semangat kontinjen.

“Perbezaan pada temasya SUKMA di Sarawak ini ialah jurulatih dan pengurus pasukan juga bakal memperolehi insentif atas kejayaan sukan masing-masing,” katanya.

Pada SUKMA ke-20, WiPers memenangi 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Johor dan Terengganu.

Walau bagaimanapun, kontinjen tersebut telah mengumpul secara keseluruhan 187 pingat dan menjadikan kontinjen yang memperoleh pingat tertinggi pada ketika itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan