AM

CDC, MICG KOMITED PERKUKUH TADBIR URUS AMALAN PEROLEHAN SEKTOR AWAM DAN SWASTA

18/07/2024 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC) dan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memupuk ketelusan, akauntabiliti dan standard tadbir urus yang baik dalam amalan perolehan sektor awam serta swasta di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CDC Muzafar Kamal Shahaluddin berkata kerjasama itu penting sebagai usaha berterusan syarikatnya meningkatkan ketelusan dan integriti dalam proses perolehan negara.

"Dengan menggabungkan keupayaan teknologi kami dan kepakaran tadbir urus MICG, kami berhasrat menetapkan standard baharu bagi perolehan sektor awam, memastikan amalan beretika dan tadbir urus yang teguh secara menyeluruh.

"Kami kekal komited untuk membantu pengusaha perniagaan mikro, kecil dan sederhana dengan memupuk budaya akauntabiliti dan kecemerlangan," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Pengerusi MICG Sujatha Sekhar Naik pula berkata MoU itu menandakan langkah penting dalam mempraktik tadbir urus dengan memanfaatkan teknologi dan membuktikan komitmen pihaknya untuk menerapkan amalan etika yang kukuh dalam budaya korporat sektor awam serta swasta.

"Kami berharap dengan menggabungkan kekuatan MICG dan CDC, melalui dasar serta pengawasan yang teguh untuk meningkatkan integriti korporat dan tanda aras amalan perolehan beretika, akan dapat membuka jalan bagi landskap perniagaan yang lebih bertanggungjawab dan telus yang akhirnya menyumbang kepada Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Kenyataan itu turut berkongsi bahawa MICG dan CDC telah menggariskan beberapa inisiatif utama di bawah MoU tersebut termasuk penganjuran bersama Persidangan Perolehan Kebangsaan ke-10 yang akan berlangsung pada 8 Ogos ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini.

Persidangan itu bertujuan menggalakkan amalan terbaik bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan amalan etika dalam perolehan serta memperkukuh proses tadbir urus selain menangani rasuah.

"Ia juga bertujuan mengumpulkan golongan pakar dan pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan, strategi, membincangkan inovasi serta menetapkan piawaian sejajar dengan objektif Malaysia MADANI, memupuk integriti dan akauntabiliti, akhirnya memastikan sektor awam dan swasta yang lebih telus dan beretika.

"Usaha sama ini turut menyokong Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini," katanya.

CDC adalah peneraju bagi penyelesaian perolehan dan terkenal dengan produk utamanya iaitu e-Perolehan yang telah merevolusikan proses perolehan kerajaan sejak penubuhannya pada 2000.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan