EKONOMI

CELCOMDIGI KEMUKA CADANGAN PELAKSANAAN RANGKAIAN 5G KEDUA KEPADA MCMC

31/07/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- CelcomDigi Bhd telah mengemukakan cadangannya untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi berkata cadangan itu mengutarakan komitmen CelcomDigi untuk membina rangkaian 5G maju dan mempercepatkan penggunaannya dalam kalangan pengguna dan perniagaan.

"Kami yakin bahawa kami telah mengemukakan kes yang kukuh untuk melaksanakann rangkaian 5G kedua Malaysia - sama ada secara bersendirian atau bekerjasama dengan orang lain - untuk memastikan binaan ekosistem 5G yang berkembang maju untuk negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

CelcomDigi berkata, syarikat tersebut memiliki keupayaan untuk melancarkan rangkaian 5G yang berpatutan, pantas, dan cekap, dengan memanfaatkan rekod prestasi cemerlangnya lebih 30 tahun dalam pelaksanaan projek infrastruktur mudah alih.

Syarikat itu yang mengendalikan rangkaian 4G paling luas dan moden di negara ini,  kini bersedia untuk melancarkan rangkaian 5G bertaraf dunia bagi Malaysia, disokong oleh pasukan kejuruteraan yang sangat mahir, rantaian bekalan menyeluruh dan rangkaian menara serta rakan infrastruktur yang meluas.

Menjelang akhir tahun ini, lebih dua pertiga daripada rangkaian syarikat akan dimodenkan, menjadikannya sebagai rangkaian digital terbesar dan paling maju di negara ini.

Sebanyak 18,000 tapak rangkaian 5G sedia adanya akan membolehkan penggunaan teknologi 5G yang canggih, seterusnya menjadikan CelcomDigi salah satu rangkaian 5G maju terbesar di rantau ini.

Syarikat itu juga memanfaatkan ekosistemnya yang luas dan berkembang daripada rakan teknologi global serta tempatan, dan pemindahan pengetahuan daripada pemegang sahamnya Axiata dan Telenor untuk memacu inovasi penyelesaian teknologi baharu bagi pengguna dan perusahaan.

Selain itu, CelcomDigi  juga baru-baru ini melancarkan Pusat Pengalaman CelcomDigi AI (AiX) canggih, hub inovasi dan kolaborasi sehenti untuk meneraju, memberi inspirasi, dan menggerakkan penciptaan penyelesaian digital bertaraf dunia. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan