AM

TIGA CADANGAN DIKEMUKA DALAM PELAN TINDAKAN HALA TUJU MITRA

31/07/2024 09:13 PM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Penubuhan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Masyarakat India Malaysia adalah antara tiga perkara yang dicadang dalam Laporan Pelan Tindakan Hala Tuju Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Beliau berkata majlis itu, yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertindak dalam membuat keputusan berhubung dasar dan peruntukan MITRA.

Dua lagi cadangan ialah mewujudkan akaun amanah MITRA dan penyusunan semula struktur organisasi agensi itu.

"Pewujudan akaun amanah MITRA adalah bertujuan membolehkan baki peruntukan yang tidak dibelanjakan pada tahun semasa diselaraskan ke dalam akaun tersebut.

"Penyusunan semula organisasi MITRA pula bertujuan menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien dalam membangunkan sosioekonomi B40 masyarakat India di Malaysia," katanya pada sidang media selepas pembentangan Laporan Pelan Tindakan Hala Tuju MITRA di sini hari ini.

Saraswathy berkata pelan itu dibangunkan susulan kajian PEMANDU Associates Sdn Bhd (dilantik oleh Kementerian Perpaduan Negara) yang dilaksanakan selama 16 minggu bermula 7 Mac hingga 6 Julai lepas.

Beliau berkata pihak perunding telah melaksanakan kajian meliputi pengumpulan data dan maklumat hasil soal selidik awam bagi mendapatkan maklum balas awal berkaitan pelaksanaan program MITRA yang terdahulu serta impaknya terhadap rakyat.

"Hasil daripada libat urus dalam maklum balas ini diterjemahkan ke dalam bentuk laporan penuh berserta pelan tindakan yang merangkumi cadangan program dan inisiatif dalam membangun serta memperkasa taraf sosioekonomi masyarakat India," katanya.

Saraswathy berkata empat teras telah digariskan dalam laporan itu untuk diberi keutamaan bagi membantu MITRA merealisasikan pembangunan sosioekonomi masyarakat India iaitu modal insan, keusahawanan dan kerjaya; kebajikan sosial, kerohanian dan komuniti serta pemboleh daya, tadbir urus, pengurusan projek, teknologi dan komunikasi.

Ditanya bila cadangan itu akan dilaksana, beliau berkata perkara tersebut terpulang kepada Jabatan Perdana Menteri, yang kini bertanggungjawab ke atas MITRA.

MITRA sebelum ini diletakkan dibawah Kementerian Perpaduan Negara sebelum dipindahkan ke JPM pada April lepas.

Saraswathy juga pelan itu menekankan usaha intervensi bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat India.

"Dengan penghasilan program dan inisiatif yang telah dirangka, MITRA berpotensi menyumbang secara signifikan kepada peningkatan taraf hidup golongan B40 masyarakat India.

"Selain itu, pemantauan dan penilaian berterusan wajar dilaksanakan agar masyarakat India Malaysia berpotensi untuk mencapai kedudukan sosioekonomi serta taraf hidup yang tinggi," katanya.

Beliau berkata laporan akhir Pelan Tindakan Hala Tuju MITRA telahpun diserah kepada Perdana Menteri pada 17 Julai lepas untuk pertimbangan.

Perdana Menteri, katanya, menyambut baik pelan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan