EKONOMI

JUALAN EV ASEAN MELONJAK, MALAYSIA ANTARA PENERAJU PRESTASI - MAYBANK INVESTMENT

01/08/2024 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- ASEAN menyaksikan lonjakan jualan kereta elektrik (EV) di Malaysia, Indonesia, dan Vietnam manakala Thailand pula menunjukkan prestasi bercampur-campur, demikian menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank Investment).

Bank pelaburan itu berkata peraturan yang positif, jenama tempatan dan penembusan pengeluar kereta China akan memacu jualan yang lebih tinggi.

"Kami lebih memilih syarikat ASEAN yang bekerjasama dengan pengeluar kereta China untuk pembuatan dan jualan, serta syarikat rantaian nilai bateri,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Maybank Investment berkata jualan EV di ASEAN meningkat daripada asas rendah pada separuh pertama 2024 di kebanyakan pasaran.

“Malaysia melaporkan pendaftaran kereta EV meningkat sebanyak 142 peratus tahun ke tahun  kepada 10,663 kereta elektrik sepenuhnya pada separuh pertama 2024.

"Indonesia pula melaporkan lonjakan jualan sebanyak 104 peratus kepada 11,943 unit EV, manakala Singapura mencatatkan peningkatan 218 peratus kepada 6,019 unit EV, mengatasi angka 2023.

"Thailand pula mencatatkan permulaan yang kukuh pada Januari 2024," katanya.

Di peringkat global, Maybank Investment berkata jualan EV meningkat sebanyak 24 peratus kepada 6.7 juta unit pada separuh pertama 2024, atau 21 peratus daripada jumlah jualan kereta keseluruhan.

"Jualan EV sepenuhnya perlahan kepada +13.9 peratus manakala kereta hibrid yang boleh dicas meningkat dengan pesat sebanyak +59 peratus.

"Jualan hibrid mencatatkan pertumbuhan lebih pantas disebabkan oleh pasaran yang telah tepu dan berakhirnya subsidi EV di Eropah, kelembapan pasaran Amerika Syarikat (AS), kekurangan infrastruktur pengecasan, dan pelbagai kebimbangan lain. Kenaikan tarif terbaharu terhadap kereta buatan China di AS dan Eropah akan turut memberi kesan," katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan