SUKAN

JOJO TANAM MISI SERAMPANG DUA MATA BUAT WIPERS DI SUKMA SARAWAK 2024

01/08/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Atlet skuasy Wilayah Persekutuan (WiPers) Joachim Chuah Han Wen mempunyai misi ‘serampang dua mata’ pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang berlangsung 17-24 Ogos ini.

Chuah atau lebih mesra disapa ‘Jojo’ yang membuat debut pada temasya dwitahunan itu menanam hasrat menamatkan tujuh tahun kemarau pingat emas skuad WiPers bukan sahaja bagi acara perseorangan lelaki tetapi juga mahu merampas semula pingat emas dalam acara beregu lelaki. 

Atlet berusia 19 tahun itu bagaimanapun mengakui berdepan cabaran sukar daripada atlet Negeri Sembilan dan tuan rumah Sarawak dalam usaha merealisasikan impiannya di Bumi Kenyalang itu kelak. 

“Atlet daripada Negeri Sembilan Ameeshenraj Chandaran adalah pencabar utama saya dalam perseorangan lelaki. Ranking dunia dia lebih tinggi berbanding saya. Kelantan juga menjadi pencabar kuat sebagai juara bertahan beregu lelaki, selain tuan rumah Sarawak juga akan menjadi lawan sukar.

“Tapi saya dan pasukan sudah buat persediaan mencukupi dan lebih yakin pada pelan permainan masing-masing, jadi saya rasa tahun ini kita akan mencapai keputusan lebih cemerlang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kali terakhir pasukan WiPers memperoleh pingat emas adalah pada SUKMA 2018 di Ipoh, Perak menerusi Ng Eain Yow dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan lelaki.

Pada SUKMA 2022, pingat emas perseorangan lelaki menjadi milik atlet Kedah Ong Sai Hung dan beregu lelaki didominasi gandingan Kelantan Wee Ming Hock-Muhammad Amir Amirul Azhar.

Bagaimanapun, ketiga-tiga atlet ini tidak beraksi di SUKMA Sarawak kerana telah melebihi had umur. 

Dalam pada itu, Jojo berkata dua kejuaraan diperolehi tahun ini pada Cabaran Kelab Hong Kong 6K dan Terbuka Antarabangsa Australia Barat 6K memberi keyakinan tambahan buatnya untuk memberi tentangan sengit di SUKMA kelak. 

“⁠Tahun ini, saya menang dua kejohanan profesional yang membantu menaikkan ranking saya dalam pasukan negara. Saya telah menimba lebih banyak pengalaman daripada pemain-pemain terbaik dunia dan juga bagaimana menghadapi tekanan. Saya sudah biasa bermain di banyak tempat, jadi untuk menyesuaikan diri di Kuching tidak akan jadi masalah yang besar untuk saya.

“Sasaran saya dalam perseorangan dan berpasukan mesti nak emas. Saya harap acara berpasukan kita boleh masuk suku akhir,” katanya. 

Dalam acara beregu lelaki, Jojo bakal bergandingan dengan Sam Yong Juin Xian. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan