EKONOMI

PELAN INDUK ECER 2025-2030 UNTUK TANGANI ISU DIBANGKITKAN DALAM LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA

08/08/2024 10:41 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 3.0 (EMP 3.0) untuk tempoh 2025-2030 yang kini dalam proses penyediaan akan menangani semua perkara yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang terbaharu termasuk kekurangan dalam penciptaan pekerjaan dan kekurangan projek infrastruktur utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Baidzawi Che Mat berkata agensi itu komited untuk menangani bidang yang diketengahkan dengan memupuk pertumbuhan ekonomi, menambah baik infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat di rantau ini.

“Pelan ini akan menangani semua perkara yang berkaitan dengan penemuan laporan AG dan akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai laporan yang mengetengahkan beberapa isu termasuk sasaran pekerjaannya yang dicapai di bawah Pelan Induk ECER yang pertama (EMP 1.0).

Baidzawi berkata ECERDC juga telah menyemak sasarannya di bawah EMP 2.0 dan sentiasa menilai arah aliran pekerjaan semasa dalam kalangan pelabur untuk memastikan sasaran pekerjaan lebih realistik.

Di bawah EMP 1.0, ECERDC melepasi sasaran pelaburan komited sebanyak RM110 bilion menjelang 2018, mencecah RM111.3 bilion.

Bagaimanapun terdapat kekurangan dalam penciptaan pekerjaan dengan pelaburan sebanyak RM66.6 bilion yang direalisasikan setakat ini atau 60 peratus daripada jumlah komited pelaksanaan program Pembangunan Modal Insan (HCD), agensi itu telah mewujudkan lebih 88,000 pekerjaan dan 27,000 peluang perniagaan berbanding 200,000 pekerjaan yang dijangkakan dan 60,000 peluang perniagaan.

Baidzawi menjelaskan bahawa penggunaan automasi dan peralihan ke arah pelaburan bernilai tinggi menghasilkan jumlah pekerjaan rendah daripada dijangkakan.

"Kami mengakui kekurangan dalam penciptaan pekerjaan, dianggarkan pada awalnya berdasarkan setiap RM1 bilion pelaburan, menjana sebanyak 1,000 pekerjaan," katanya.

Bilangan usahawan yang diwujudkan juga berkait rapat dengan peruntukan bajet pembangunan untuk program modal insan, kata Baidzawi.

Kekurangan projek infrastruktur utama juga menjadi isu, justeru penambahbaikan yang ketara sedang dijalankan, katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa dengan peningkatan minat daripada pelabur, ECERDC yakin dengan strateginya untuk memacu pembangunan ekonomi selanjutnya dan mencapai matlamat jangka panjangnya.

Ia kekal memfokuskan untuk merealisasikan peluang pelaburan yang memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan menjana peluang perniagaan, seiring dengan wawasan MADANI, katanya.

Baidzawi berkata ECERDC berdedikasi untuk menangani kawasan yang diketengahkan dan berusaha membangunkan wilayah itu bagi merapatkan jurang sosioekonomi antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata ECERDC telah mencapai kemajuan yang besar dalam pelbagai projek di seluruh rantau ini.

Daripada 109 projek dan program yang dirancang dalam tempoh antara Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-12, sebanyak 99 projek (90.8 peratus) telah berjaya dilaksanakan seperti yang ditunjukkan dalam laporan LKAN.

Beliau juga berkata pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM66.6 bilion sehingga 2018 telah menyumbang kepada peningkatan 1.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini.

Beralih kepada projek infrastruktur utama, Baidzawi berkata penyiapan pembesaran Pelabuhan Kuantan pada 2018 dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang berjalan, dijadual untuk memulakan operasi menjelang 2027, ia merupakan perkembangan penting yang akan meningkatkan daya tarikan rantau ini untuk pelaburan masa depan.

 

Mengukur impak sosioekonomi

Laporan Ketua Audit Negara itu mendapati tiada pangkalan data telah disediakan untuk mengukur pencapaian sosioekonomi kumpulan sasar di wilayah ECER.

Akibatnya, kejayaan projek dan program yang dilaksanakan tidak dapat dinilai dan ECERDC kekurangan kaedah untuk mengukur kadar kemiskinan serta tahap pendapatan dengan tepat di negeri-negeri Pantai Timur.

LKAN mengesyorkan Kementerian Ekonomi, ECERDC dan pihak berkaitan menyemak semula objektif, fungsi dan peranan ECERDC.

Kajian semula itu harus memastikan projek dan program sejajar dengan keutamaan semasa dan perlu memberi manfaat kepada kumpulan sasar dengan berkesan tanpa memberi kesan kepada pulangan kerajaan.

Sebagai respons kepada penemuan itu, Baidzawi berkata bahawa ECERDC menggunakan papan pemuka dalaman untuk menjejaki petunjuk prestasi utama seperti pelaburan komited, pelaburan yang direalisasikan, penciptaan pekerjaan dan pembangunan keusahawanan pada setiap suku tahun bersama laporan diserahkan kepada ECERDC.

“Ini termasuk data mengenai pelaburan, pembangunan modal insan dan perniagaan tani,” katanya.

Untuk kemajuan sosioekonomi, Baidzawi menyatakan bahawa ECERDC bergantung kepada data daripada Jabatan Perangkaan, e-Kasih dan i-Damak.

“Kami sedang mempertingkatkan sistem pengukuran data dalaman kami dan juga akan menggunakan data Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) pada masa depan.

“ECERDC ketika ini mengekalkan data mengenai semua pekerjaan yang dicipta dan maklumat mengenai usahawan termasuk kesannya terhadap pendapatan isi rumah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan