AM

KPM CUNGKIL POTENSI MURID DALAM SUKAN PELAYARAN DI PULAU TIOMAN

08/08/2024 11:29 AM

ROMPIN, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  bersetuju menyediakan 10 bot optimist dalam usaha membangunkan bakat murid bagi sukan pelayaran di Pulau Tioman di sini. 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian sentiasa menyokong bakat yang boleh dilonjakkan ke peringkat tertinggi dengan menyediakan kemudahan diperlukan, sekali gus membantu pembangunan sukan murid, khususnya di sekolah pesisir pantai dan pedalaman. 

Beliau berkata kemenjadian murid juga tidak seharusnya terbatas kepada kecemerlangan akademik sahaja, tetapi juga menerusi bidang kokurikulum dan sukan. 

"Tidak mudah kendalikan bot layar ini, ia memerlukan kekuatan murid dan latihan yang jitu, namun kami melihat potensi yang cukup baik di Pulau Tioman dan mereka ada peluang untuk melonjakkan bakat itu ke peringkat seterusnya, jadi KPM bantu dengan pemberian bot berkenaan," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen di Pulau Tioman di sini baru-baru ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dan Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Abd Malek. 

Pada program itu, Fadhlina turut meluangkan masa melihat demonstrasi pelayaran oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Pulau Tioman di sini Muhammad Khairul Fazli Abdullah, 11. 

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sedang meneliti peluang bagi mewujudkan program latihan sukan pelayaran KPM di pulau itu selain Jabatan Pendidikan Pahang telah diminta mengenal pasti potensi murid termasuk menempatkan atlet pelapis berkenaan ke sekolah sukan. 

Bagi guru di sekitar Pulau Tioman yang berminat mengikuti kursus kejurulatihan sukan layar pula, beliau berkata mereka akan diberi peluang bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan layar di sini untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Fadhlina berkata murid yang hidup dan dibesarkan di kawasan pantai, terutama di pulau peranginan mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dikembangkan bakat dan potensi mereka khususnya dalam sukan pantai.

"Selain sukan pelayaran, dengan kelebihan dimiliki itu, sukan pantai lain seperti bola tampar pantai dan bola sepak pantai juga boleh diterokai dan dibangunkan di sini dan KPM komited untuk membangunkan potensi itu," katanya. 

Dalam lawatan itu, Fadhlina turut meninjau infrastruktur di SK Juara yang menempatkan 50 murid dan 12 guru antaranya gelanggang serba guna, taman permainan prasekolah dan kawasan cadangan rumah guru. 

Pada program yang berlangsung selama dua hari bermula Isnin lepas itu, murid sekolah di pulau peranginan itu turut menerima sumbangan berbentuk keperluan pembelajaran dan bahan bacaan. 

Program Tindak Susul Parlimen di Pulau Tioman adalah siri kedua dianjurkan KPM tahun ini selepas yang pertama di Selangor bagi membuat pemerhatian dan penilaian secara langsung berkaitan isu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan