AM

GMBB: PELANCARAN ‘A SEED DREAMS OF A FOREST’ TARIK KUNJUNGAN RAMAI PEMINAT, PUPUK BAKAT TEMPATAN

08/08/2024 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pusat beli-belah yang menjadi perintis komuniti kreatif Kuala Lumpur, GMBB, dalam meraikan pelancaran rasmi ‘A Seed Dreams of a Forest’ hujung minggu lepas, menyerlahkan kejayaan cukup memberangsangkan, apabila ia berjaya menarik kehadiran ramai dalam kalangan peminat seni, kaum keluarga, dan pelawat.

Acara itu mencatatkan satu peristiwa penting dalam perjalanan lima tahun GMBB, berikutan pembukaan rasminya minggu lepas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Pengurus besar GMBB Lim Ying Hui yang berkongsi keterujaannya berkata jumlah kehadiran dalam aktiviti hujung minggu itu cukup memberangsangkan, kerana ia bukan sekadar sambutan biasa, tetapi juga bertindak sebagai pengenalan kepada apa yang boleh dijangkakan pengunjung di GMBB pada masa hadapan.

“Melihat kepada tenaga positif komuniti kita dan penglibatan penuh semangat yang ditampilkan pelawat, ia benar-benar menyerlahkan wawasan kami untuk menjadi 'Lebih Bersama.' Harapan kami adalah agar seluruh masyarakat dapat merasai semangat komuniti yang tinggi selaras dengan apa yang dijunjung GMBB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan pelancaran ‘A Seed Dreams of a Forest’ GMBB berhasrat untuk memupuk bakat tempatan dalam ekosistem yang dinamik, dengan pembabitan para artis dari pelbagai latar belakang, bakat dan pengalaman yang boleh berkumpul, bekerjasama, dan terus memangkin ekonomi kreatif serta budaya Malaysia.

Di sebalik cabaran awal sebagai pendatang baru dalam bidang seni, Lim berkata GMBB memulakan perjalanan ini dengan visi yang berani lima tahun lepas.

“Hari ini GMBB berdiri sebagai hab yang cukup bertenaga, menempatkan lebih seratus penyewa di ruang bangunan sembilan tingkat meliputi kira-kira 110,000 kaki persegi net lettable area. Penyewa ini merangkumi pelbagai jenis usahawan kreatif, artis, ahli kraf, pakar makanan dan minuman, dan banyak lagi.

“Ia termasuk 'Five Arts Centre', yakni kumpulan dinamik artis, aktivis dan penerbit Malaysia yang terkenal dengan persembahan bermakna dan eksperimen dalam teater, tarian dan muzik, serta 'Fusion Wayang Kulit,' suatu galeri yang diketuai oleh pasukan yang memenangi anugerah, berdedikasi untuk menghidupkan semula seni wayang kulit tradisional Malaysia melalui budaya pop,” katanya.

Di samping itu terdapat Gangsapura, pusat Gamelan Melayu kontemporari bagi mengekalkan kesenian muzik tradisional, dan Muzium Seni Buku Bergambar, dengan 80 peratus daripada pameran pilihannya terdiri daripada buku bergambar tempatan, bersama-sama dengan beberapa studio bebas yang dikendalikan oleh artis di spektrum, adalah antara kemuncak acara.

“Terdapat juga banyak galeri yang unik, kedai buku, studio seni, dan tempat makan menarik menanti untuk ditemui di GMBB. Pemasangan dan pameran yang organik dan sering berubah-ubah juga menjanjikan setiap lawatan ke sini hampir pasti membawa penemuan baharu kepada pelawat,” katanya.

Selain itu Lim berkata tumpuan akan diberikan untuk usaha menunjukkan nilai yang dibawa GMBB kepada pengalaman pelancongan Malaysia di ibu negara, serta ekonomi kreatif dan budaya tempatan untuk seluruh rakyat Malaysia dan penduduk tempatan.

“Semasa kita terus berkembang, kerancakan dan kepelbagaian penyewa kami adalah aspek penting yang memberi kesan kepada keupayaan bagi memenuhi visi kami untuk komuniti kreatif yang berkembang maju,” katanya.

Sementara itu Dr Zaliha dalam kenyataan sama berkata GMBB menunjukkan contoh bagaimana perkongsian strategik antara inisiatif kerajaan dan perusahaan swasta boleh meningkatkan latar budaya Kuala Lumpur dan meningkatkan pelancongan.

“Ia menunjukkan impak positif dalam memupuk bakat kreatif tempatan dan mewujudkan ruang komuniti yang bertenaga. GMBB berfungsi sebagai model praktikal untuk inisiatif serupa yang bertujuan memperkaya landskap budaya bandar kita dan menarik khalayak yang pelbagai,” katanya.

Dengan slogan 'More Together', menurut kenyataan itu GMBB menekankan kerjasama dalam memupuk ekosistem seni yang bertenaga dan bertujuan untuk menjadi titik sentuhan bagi seni kreatif dan budaya Malaysia, memupuk ekonomi seni kreatif dan budaya yang mampan untuk negara.

“Ia sejajar secara strategik dengan matlamat pelancongan dan kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyokong pertumbuhan mampan dengan memupuk kreativiti, inovasi dan budaya yang akhirnya akan menyumbang kepada ekonomi kreatif dan budaya Malaysia,” menurutnya.

Selain itu GMBB tetap berdedikasi dalam menyediakan platform untuk bakat kreatif tempatan meningkatkan landskap kreatif dan budaya Malaysia, dengan pelbagai acara akan datang, termasuk Pameran Sastera dan Seni Kuala Lumpur dari 22 Ogos hingga 16 Sept; dan sesi Fatal Attractions: Photographer’s Talk and Exhibition Tour oleh Chien C. Lee (31 Ogos).

Acara lain termasuk Kempen Hari Malaysia Rasa Sayang GMBB dari 14 Sept hingga 16 Sept; pameran seni kontemporari oleh GMBB, Telur Pecah 4.0  (10 Okt-10 Nov); pameran seni media baharu Immersio 2024 (22 Nov-22 Dis); dan Pameran Ilustrasi Kuala Lumpur 2025 (1 Mei-4 Mei 2025).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan