AM

BELANJAWAN 2025: PM ANWAR ADAKAN LIBAT URUS BERSAMA PEMAIN INDUSTRI E&E UTARA

08/08/2024 03:57 PM

KULIM, 8 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan libat urus Belanjawan 2025 bersama pemain industri elektrik dan elektronik (E&E) di kilang SilTerra (rpt SilTerra) Malaysia di sini untuk mendapatkan maklum balas daripada industri serta pemegang taruh.

Maklum balas yang diterima dalam dialog tertutup itu dijangka meliputi dasar, insentif, program, pelaksanaan dan cabaran, sebelum ia dibawa semula untuk penelitian di peringkat Kementerian Kewangan agar dapat disesuaikan dengan dokumen atau Belanjawan MADANI 2025.

Lebih 70 pemain industri E&E daripada 52 syarikat berpangkalan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak hadir sesi libat urus tersebut yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan semua menteri untuk mengadakan sesi dialog Belanjawan MADANI 2025 bersama kementerian masing-masing dan semua pemegang taruh dalam sektor yang terlibat. 

Belanjawan 2025 yang merupakan belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan akan dibentang pada 18 Okt ini di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan Belanjawan 2025 akan terus menumpukan aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi MADANI termasuk bagi membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan