AM

RAJA ZARITH SOFIAH DILANTIK SEMULA SEBAGAI CANSELOR UTM

10/08/2024 10:58 PM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dilantik semula sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkuat kuasa 1 Jun lepas hingga 31 Mei 2031.

UTM menerusi hantaran di laman Facebook hari ini memaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mempersembah Watikah Perisytiharan Pelanjutan sebagai Canselor UTM kepada Seri Paduka Baginda sempena perkenan terima menghadap delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi di Istana Negara hari ini. 

"Seluruh warga UTM merafak sembah, menjunjung kasih serta menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan semula Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkuat kuasa 1 Jun 2024 hingga 31 Mei 2031," menurut hantaran itu.

Menurut UTM, Raja Zarith Sofiah mula dilantik sebagai Canselor universiti itu pada 1 Jun 2010 dan telah memberikan pelbagai sumbangan yang amat bermakna di peringkat domestik dan juga di persada dunia.

Antara sumbangan Raja Permaisuri Agong ialah mengilhamkan Projek Bangsa Johor Bahagia yang bertujuan membantu komuniti kurang berkemampuan dengan penglibatan penyelidik dan pelajar UTM.

Seri Paduka Baginda juga amat prihatin dengan isu kebajikan pelajar dan telah melancarkan Tabung Canselor 'Because We Care' bagi membantu mahasiswa B40.

Universiti itu memaklumkan bahawa sebagai seorang yang aktif dalam dunia keintelektualan, Seri Paduka Baginda turut menaungi Pusat Pengajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun Raja Zarith Sofiah  dan sejak 2022, telah mengilhamkan siri Forum Intelektual Diraja yang dianjurkan setahun sekali di UTM oleh Akademi Tamadun Islam.

Pada Mei 2023, Raja Zarith Sofiah telah menyampaikan ucaptama bertajuk Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies sempena persidangan meja bulat anjuran UTM dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), Universiti Oxford, United Kingdom.

"Pengurusan tertinggi UTM amat yakin dengan pengalaman dan hikmah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara demi manfaat rakyat dan sentiasa komited di bawah naungan Baginda," menurut UTM.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan