AM

CEO SYARIKAT AIR PERLIS DIPILIH SEBAGAI NAIB PRESIDEN IWA

11/08/2024 05:37 PM

KANGAR, 11 Ogos (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Perlis (SAP) Dr Mohmad Asari Daud dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada Perhimpunan Agung persatuan itu di Toronto, Kanada pada Sabtu.

Naib Presiden Persatuan Air Malaysia Adam Saffian Ghazali dalam kenyataan berkata pemilihan itu merupakan pencapaian penting yang akan meningkatkan taraf dan masa depan industri air dan air sisa di Malaysia.

"Persatuan Air Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohmad Asari … pemilihan sebagai Naib Presiden ini ialah pencapaian luar biasa sejajar dengan pemilihan Kuching, Sarawak sebagai bandar raya tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia 2028 yang beliau turut berkhidmat sebagai Presiden Kongres," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan Persatuan Air Malaysia yang disiarkan laman Facebook Adam Saffian Ghazali.

Pemilihan itu menyaksikan Mohmad Asari yang juga Presiden Persatuan Air Malaysia berkhidmat selama dua tahun sehingga Perhimpunan Agung di Glasgow pada 2026.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dalam hantaran Facebook beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohmad Asari.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan