EKONOMI

INISIATIF MCY JANA 553 PRODUK DIKOMERSIALKAN, HASIL LEBIH RM729.9 JUTA - PM ANWAR

12/08/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) berjaya membawa kepada pengkomersialan sebanyak 553 produk, teknologi dan perkhidmatan yang menjana hasil lebih RM729.9 juta di pasaran tempatan serta global, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri juga menyifatkan angka diraih bagi tempoh 2016 hingga 2023 sebagai satu peningkatan besar berbanding tempoh 2016 sehingga 2022 dengan 474 produk dikomersialkan manakala hasil mencecah RM540 juta.

“Tempoh 2022-2023 itu mencatat peningkatan sebanyak 16.67 peratus dari segi bilangan produk yang dikomersialkan serta pertumbuhan hasil sebanyak 35.17 peratus.

“Pertumbuhan itu membuktikan lagi kemampuan Malaysia bergerak pantas sebagai peneraju serantau dalam aspek inovasi dengan MCY mengiktiraf usahawan di atas kejayaan pengkomersialan penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) produk di pasaran dalam dan luar negara,” kata beliau dalam satu kenyataan bersempena penganjuran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 di sini hari ini.

Acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu bertujuan meraikan dan melonjakkan pengkomersialan R&D&I di Malaysia, sekali gus memacu Malaysia ke arah kepimpinan serantau dalam aspek inovasi.

Bagi menghargai usahawan teknologi tempatan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan Anugerah MCY dalam enam kategori termasuk Anugerah Keseluruhan kepada enam usahawan teknologi contoh di atas pencapaian masing-masing sepanjang 2023.

Selain itu, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) dan satu memorandum perjanjian, termasuk MoU antara Maxis dan Huawei. 

Kesemua dokumen itu secara kolektif bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam inovasi dan teknologi.

Bagi memacu pengkomersialan R&D&I tempatan MOSTI telah memperkenalkan pendekatan ‘Gunakan Inisiatif Produk R&D Tempatan (MySTI)' dalam aspek pemerolehan kerajaan.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan lagi pengkomersialan R&D&I tempatan melalui logo MySTI yang mengenal pasti produk, teknologi serta perkhidmatan dalam inventori keutamaan untuk pemerolehan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan